209 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

209 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di Pulau Pinang

CHONG Eng pada sidang DUN Pulau Pinang di George Town, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak 209 kes penderaan melibatkan kanak-kanak direkodkan di Pulau Pinang dari Januari sehingga September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Chong Eng berkata, daripada jumlah itu jenis penderaan melibatkan seksual adalah 91 kes; pengabaian (67); fizikal (42) dan emosi (9).

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memberikan langkah segera dan sokongan kepada mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Antara SOP itu ialah JKM menyelamatkan kanak-kanak dalam tempoh 10 jam selepas aduan atau maklumat berkaitan penderaan diterima,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Chong Eng (DAP-Padang Lalang) menjawab soalan A. Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai jumlah kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di negeri itu sepanjang tahun ini.

Mengulas lanjut, Chong Eng berkata, JKM juga akan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya jika ada keperluan dan pengesahan pegawai perubatan berkaitan penderaan.

“Perintah sementara di bawah Seksyen 19, Akta Kanak-Kanak 2001 dan perintah tetap dibawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 akan diperoleh daripada mahkamah untuk menempatkan kanak-kanak di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai atau ditempatkan di tempat selamat.

“Khidmat nasihat dan intervensi kaunseling juga akan diberikan kepada mangsa dera oleh JKM,” katanya.

Tambah beliau, pasukan perlindungan kanak-kanak yang telah dilantik di bawah Seksyen 7, Akta Kanak-Kanak 2001 juga memainkan peranan dalam melaksanakan program advokasi berkaitan penderaan kanak-kanak di peringkat komuniti setempat.

Dalam pada itu, katanya, antara faktor dan punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah disebabkan masalah kewangan; kecuaian ibu bapa atau pengasuh; pendera terlibat dengan jenayah; kanak-kanak mengikut teman lelaki dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya