20 menteri sudah memadai - Utusan Malaysia

20 menteri sudah memadai

pru15
ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Melantik maksimum 20 menteri sudah memadai untuk kerajaan dalam usaha membentuk sebuah Kabinet bersaiz kecil seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, jumlah itu sudah memadai kerana kerajaan akan disokong oleh kakitangan awam yang kini mencecah lebih sejuta orang.

Menurutnya, mengecilkan saiz Kabinet juga boleh dilakukan dengan melihat semula kepada beberapa kementerian yang mempunyai fungsi yang sama seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kalau melihat kepada besarnya saiz perkhidmatan awam, saya rasa melantik 15 hingga 20 menteri sudah maksimum, 15 menteri pun cukup.

“Hujah kepada Kabinet mesti kecil ialah kerana perkhidmatan awam itu sudah besar, dengan Kabinet yang kecil, kakitangan awam akan lebih berperanan. Kunci untuk mengecilkan Kabinet ialah kita harus tahu peranan menteri dan peranan kakitangan awam, tetapi kalau menteri mahu ambil tahu soal perladangan, soal mesin dialisis, lebih baik jadi kakitangan awam, jadi ketua setiausaha.

“Ini ditambah dengan adanya e-government dan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh rakyat yang tidak mahu melihat pembaziran, apatah lagi Perdana Menteri sendiri menolak menggunakan Mercedes S600, menolak ubahsuai pejabat.

“Janji kecilkan Kabinet harus signifikan, kalau ada 25 menteri, tak ada beza Anwar dengan Perdana Menteri dahulu, jadi 20 menteri adalah maksimum. Ini boleh dibuat, cuba dahulu,” katanya dalam siaran langsung di Facebook beliau semalam mengulas pembentukan Kabinet di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berkata, satu perkara yang perlu difahami ialah timbalan menteri termasuk dalam senarai kabinet sebenarnya tidak tepat sebaliknya anggota kabinet atau saiz Kabinet ialah menteri penuh sahaja, tidak termasuk timbalan menteri.

Menurutnya, formula lain mengecilkan saiz Kabinet ialah dengan satu menteri menjaga lebih daripada satu kementerian.

Katanya, ini dilakukan dengan mengumpul kementerian yang fungsinya lebih kurang sama di bawah satu menteri.

“Contohnya Kementerian Pendidikan, tak perlu ada Kementerian Pendidikan Tinggi. Pernah berlaku Pendidikan Tinggi diletakkan di bawah seorang pengarah yang dipinjamkan daripada sebuah universiti tempatan. Kementerian Pendidikan sepatutnya satu sahaja, tak perlu sampai dua.

“Begitu juga Kementerian Perdagangan, di bawahnya mungkin satu domestik, satu antarabangsa, tidak perlu hingga dua kementerian untuk perdagangan,” katanya.

Secara perbandingan, Abdul Aziz berkata, saiz kabinet semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri ialah 31 menteri dan 38 timbalan menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai 32 menteri dan 38 timbalan menteri, manakala Kabinet Tun Dr. Mahathir 28 menteri dan 27 timbalan menteri,.

“Dalam hal ini, tindakan kerajaan negeri Perlis mengecilkan Kabinet agak berani. Menteri Besarnya melantik enam Exco bukan 10 walaupun dibenarkan perlembagaan dan ini menjadi cabaran di peringkat Pusat untuk lakukan perkara yang sama,” katanya.

Abdul Aziz berkata, Kabinet kecil tidak jejaskan prestasi kerajaan kerana apa yang berlaku dalam kerajaan sebelum ini hanya untuk memberi jawatan kepada ahli Parlimen bagi pastikan kerajaan tidak tumbang.

“Seperti yang dikatakan jawatan Kabinet bukan upah atau suatu anugerah atau alat politik. Jadi sepatutnya difikirkan, jangan besar (saiz Kabinet), jika tidak tak ada bezanya Anwar dengan Perdana Menteri yang lain dan ini harus tegas, rakyat terus memantau perkara ini, Perdana Menteri tak ambil gaji, pakai capal tak bermakna kalau Kabinet besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN