KULAI: Dianggarkan sebanyak 14 buah rumah rosak dalam kejadian ribut yang melanda kawasan Felda Bukit Permai, dekat sini, pagi tadi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulai dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi.
Seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat kejadian pada pukul 8.50 pagi tadi.
“Hasil pemantauan bersama-sama penduduk kampung buat masa ini terdapat 14 buah rumah terlibat. Ada bahagian rumah yang rosak dan bumbung diterbangkan angin kencang.
“Bagaimanapun tiada mangsa yang dipindahkan dan pemantauan masih dilakukan sehingga kini,” demikian menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan, bilangan mangsa banjir di Tangkak dan Segamat adalah seramai 278 orang daripada 70 keluarga yang dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari ini.
“Di Tangkak seramai 225 mangsa banjir melibatkan 53 keluarga dari Kampung Simpang 5 Darat, Kampung Parit Bunga Raya Hujung, Kampung Parit Bunga Raya dan Kampung Parit Pulai masih berada di dua PPS.
Mereka ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama (SA) Simpang 5 Darat.
Seramai 39 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat.
Seramai 14 orang lagi melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek. – UTUSAN