KUALA LUMPUR: Spekulasi pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat semakin dikuatkan melalui ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam perjumpaan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) semalam, yang menyebut Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ditunda selepas pilihan raya.
Ogos lalu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO menetapkan PAU berlangsung 23 hingga 26 November ini.
Sumber UMNO yang menyertai perjumpaan tersebut memberitahu Utusan Malaysia, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menangguhkan PAU sehingga PRU15 berlangsung.
“Dalam dewan semalam, Presiden bagi petunjuk bila Parlimen akan dibubarkan. Beliau tak bagi tarikh, tapi ada petunjuk. Rasanya dalam beberapa hari terdekat.
“Petunjuk terbesar apabila UMNO buat keputusan untuk menangguhkan Perhimpunan Agung (PAU). Sepatutnya kami ada PAU sebelum hujung November, tapi bila Ahmad Zahid kata akan tangguhkan selepas PRU15, itu adalah satu petunjuk yang jelas,” kata sumber.
Sumber berkata, Ahmad Zahid berkata bahawa perjumpaan semalam merupakan yang terakhir sebelum PRU15, dan itu sekali gus memberi isyarat bahawa pembubaran Parlimen akan berlaku dalam masa terdekat.
“Satu lagi, Ahmad Zahid juga sebut, tak silap dalam sidang media pun sebut yang sama, bahawa perjumpaan semalam adalah pejumpaan terakhir UMNO sebelum PRU15. Maka, ini jelas menunjukkan bahawa sikit masa lagi besar kemungkinan Parlimen akan dibubarkan dan beri laluan PRU15,” kata sumber.
Semalam satu perjumpaan tertutup UMNO diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Ia melibatkan 764 pemimpin sayap 191 bahagian yang terdiri daripada Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO. – UTUSAN











