SIBURAN: Penyandang Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berkata beliau yakin kepimpinan parti akan membuat keputusan tepat berhubung siapa yang akan dipilih untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kita tunggu dan lihat. Saya telah menyertai mereka (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan saya sebahagian daripada parti itu.
“Saya perlu menunggu keputusan kepimpinan parti. Tanggungjawab saya sebagai penyandang dan pemangku Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi saya perlu teruskan serta meneruskan tugas saya untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan kesejahteraan mereka dijaga,” kata Willie.
Willie ditanya sama ada pucuk pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah berbisik kepadanya mengenai pencalonannya.
“Pada masa ini adalah terlalu awal untuk saya mengatakan apa-apa yang berkaitan dengan pencalonan saya.
“Kita perlu menghormati keputusan kepimpinan parti dan saya pasti mereka mempunyai orang sendiri untuk melihat apa yang telah saya lakukan selama ini sebagai wakil rakyat.
“Jika mereka memberi saya peluang untuk meletakkan (mencalonkan) saya maka saya akan pastikan yang saya akan memenangi kerusi itu untuk mereka (kepada Parti Gabungan Sarawak,” kata Willie.
Tambahnya, beliau akan bekerja keras untuk rakyat mengikut apa yang sepatutnya dilakukan dengan cara yang sesuai.
Terdahulu, Willie menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat daripada Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) untuk disampaikan kepada tiga keluarga miskin tegar di kawasan Puncak Borneo.
Presiden SFIA Leo Chiang Kok Sze menyerahkan sumbangan kepada Willie yang kemudiannya menyampaikannya kepada tiga keluarga miskin tegar di kawasan pilihan raya Puncak Borneo.
Tiga keluarga yang menerima sumbangan itu ialah Julia Singun di Kampung Panchor Dayak, Serian, Boniface Kanyui di Kampung Plaman Toop, Jalan Kuching-Serian dan Jugah Ganjoh di Kampung Segu Benuk, yang nilai keseluruhan RM10,000. – UTUSAN










