Warisan tidak gentar kerjasama GRS-BN pada PRU-15

Warisan tidak gentar kerjasama GRS-BN pada PRU-15

JUNZ WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) tidak sedikit pun gentar dengan pengumuman kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Walau disifatkan sebagai musuh utama parti-parti Malaya di Sabah namun, Warisan yakin dengan kedudukan mereka di negeri ini.

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, kerjasama GRS-BN dilihat sebagai lakonan yang dibuat demi survival politik.

Meskipun sangat jelas bahawa GRS dan BN saling mencemburui namun, mereka terpaksa bekerjasama kerana itu satu-satunya cara menghentikan perjuangan yang dibawa oleh Warisan.

Beliau berkata, kerajaan GRS-BN adalah kerajaan yang gagal maka, mengundi gabungan itu pada PRU akan datang bererti mengundi sebuah gabungan yang gagal.

Menurutnya, beliau yakin rakyat Sabah tidak akan terpedaya dengan kerjasama pura-pura antara parti-parti Malaya kerana ketika ini rakyat mahukan parti tempatan yang kuat dan tidak tunduk kepada ‘bos-bos mereka’ di Malaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu berkata, sama ada GRS, BN, Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH), kesemua parti itu sekadar boneka kepada ketua mereka.

Maka, rakyat perlu mengambil peluang yang ada pada PRU15 ini bagi menentukan nasib Sabah, jangan biarlah GRS-BN mengatur rakyat Sabah dengan mengikut telunjuk ketua mereka di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut katanya, PRU kali ini merupakan masa untuk rakyat Sabah mengikut jejak Sarawak iaitu mengundi sebuah parti tempatan demi mengembalikan autonomi dan kekayaan Sabah.

Rakyat Sabah tidak boleh sewenang-wenangnya memberi satu pun kerusi kepada parti Malaya. Sebaliknya, rakyat perlu menaikkan ‘saham’ kerusi-kerusi di Sabah dengan memilih parti tempatan.

“Parti Malaya tidak mahu rakyat Sabah berpadu bagi menuntut hak-hak Sabah. Mereka bimbang terbentuknya blok Borneo iaitu Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana blok Borneo ini bakal menentukan nasib mereka.

“Di Sabah, kita harus berpadu dan mencontohi Sarawak yang berjaya mempertahankan negeri mereka daripada penjajahan parti-parti Malaya. Itu sahaja cara untuk Sabah dan Sarawak menjadi penentu siapa bakal membentuk kerajaan Persekutuan yang akan datang,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN