ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki warga emas antara empat suspek yang ditahan kerana terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 62 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Pulai Indah, Bandar Selesa Jaya dan Skudai pada 20 Oktober lalu.
Katanya, bertindak atas maklumat, polis mengekori sebuah kenderaan jenis Naza Citra sebelum berjaya menahan dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri berusia 35 dan 24 tahun.
“Hasil soal siasat, polis berjaya menahan dua lagi suspek, iaitu seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun dan seorang lelaki berusia 41 tahun.
“Kesemua yang ditahan mempunyai rekod lampau, dengan salah seorang daripada suspek memiliki 33 rekod bersabit pelbagai kesalahan jenayah, antaranya pecah rumah, curi kenderaan, samun dan memiliki barangan curi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Dengan penangkapan kesemua suspek itu, pihak polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru.
“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menyasarkan kediaman tidak berpagar, iaitu pasangan suami isteri akan menekan loceng atau memanggil penghuni kediaman untuk keluar.
“Setelah mengesahkan kediaman itu kosong, mereka akan memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan yang boleh dijual semula dalam pasaran,” katanya.
Antara barangan yang dirampas termasuk sebuah kenderaan Naza Citra, masing-masing sebuah motosikal, peti sejuk, televisyen dan tangga, barangan kemas serta resit hasil jualan tangga bernilai RM700.
“Anggaran nilai barangan yang dirampas sebanyak RM30,000. Kesemua suspek kini dikenakan tahanan reman hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN