Video tular pergaduhan depan sekolah berkait hak penjagaan anak - Utusan Malaysia

Video tular pergaduhan depan sekolah berkait hak penjagaan anak

TANGKAP layar video pergaduhan yang berlaku di hadapan SK Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin yang melibatkan perebutan hak penjagaan anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Perebutan hak penjagaan anak menjadi punca pergaduhan antara beberapa individu di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 1.30 petang.

Katanya, seorang wanita yang juga warga emas mengadu cucunya yang berusia sembilan tahun dilarikan oleh bekas menantu perempuannya.

“Siasatan mendapati, video yang tular di media sosial yang pada mulanya disangka kes culik adalah kejadian berkaitan laporan yang diterima.

“Kejadian terbabit berlaku semasa kanak-kanak itu pulang dari sekolah dan perebutan hak penjagaan ini berlaku sejak 2013 selepas ibu dan bapa mangsa bercerai. Proses tuntutan hak penjagaan masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pengadu turut mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit.

“Selain itu, suspek turut membuat laporan polis menyatakan mangsa selamat dalam jagaannya. Suspek menyerahkan sepenuhnya kes ini kepada peguamnya dan pihak polis untuk siasatan. Kita turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung video terbabit memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya.

Sejak kelmarin, tular dua video yang masing-masing berdurasi satu minit tiga puluh saat yang memaparkan pertengkaran antara beberapa individu di hadapan SK Kepala Batas.

Menerusi video terbabit, kelihatan seorang wanita terjatuh ketika cuba mengejar seorang kanak-kanak perempuan yang dilarikan beberapa individu menaiki kereta.

Orang ramai dilihat turut cuba membantu menghalang kenderaan terbabit daripada bergerak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya