[VIDEO] Penceramah bebas didakwa bagi cek tendang  - Utusan Malaysia

[VIDEO] Penceramah bebas didakwa bagi cek tendang 

MUZZAMIL Soliheen Musa (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan memperdaya seorang individu dengan menyerahkan 'cek tendang' berjumlah RM4,287.70 bagi perkhidmatan kerja fotostat, empat tahun lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang individu dengan menyerahkan ‘cek tendang’ berjumlah RM4,287.70 bagi perkhidmatan kerja fotostat, empat tahun lalu.

Tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya memperdaya seorang individu berusia 45 tahun untuk perkhidmatan fotostat kertas-kertas soalan peperiksaan untuk sebuah sekolah di Lenggeng yang berjumlah RM4,287.70 dengan menyerahkan sekeping cek Ambank Islamic.

Bagaimanapun, tertuduh telah membatalkan cek tersebut yang mana individu itu tidak akan melaksanakan kerja-kerja tersebut jika tidak diperdaya sedemikian.

SEORANG penceramah bebas didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang individu dengan menyerahkan ‘cek tendang’ berjumlah RM4,287.70 bagi perkhidmatan kerja fotostat, empat tahun lalu. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Kesalahan itu dilakukan di Melati Square, Putra Nilai di sini lebih kurang pukul 4 petang, 14 Mei 2018.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan paling rendah atas alasan anak guamnya yang sudah berkahwin mempunyai empat orang anak dengan dua daripadanya bersekolah.

“Orang Kena Tuduh (OKT) merupakan seorang ustaz yang mengajar di masjid-masjid sekitar Seremban dan juga seorang penulis buku. Pendapatan OKT juga tidak tetap sekitar RM3,000 sebulan, malah dia ada penyakit gout yang kronik dan perlu mengambil ubat setiap hari,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula 24 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN