PETALING JAYA: Formula Pas meneruskan penyatuan dengan membawa bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan penyelesaian untuk ummah bersatu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah, tetapi menolak penyelamatan politik Bersatu.
“Bagi UMNO, formula Pas untuk mendukung Bersatu bukan rumus untuk ummah yang bersatu. Bersatu adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO. Kekuatannya adalah superficial. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki tetapi dibina melalui sindiket pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia.
“Kerana itu, Bersatu tidak mempunyai standing sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu. Asid deoksiribonukleiknya (DNA) adalah anti-UMNO dan karakternya adalah khianat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, UMNO memuktamadkan pendiriannya untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas Pas memutuskan untuk terus bekerjasama dengan Bersatu.
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, parti itu akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ketiga-tiga parti teras Melayu bagi menjamin kestabilan politik negara pasca-PRU15.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penyatuan ummah tidak semestinya hanya terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya semata-mata.
Justeru, katanya, tugas UMNO mengurus dan mentadbir negara bukan hanya tertumpu kepada gerakan dakwah kerana parti itu adalah gerakan politik.
“Penyatuan ummah telah dan akan UMNO usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim bila ia mentadbir. Segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu.
“Adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang. Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya agar ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan.
“Ia tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan Bersatu pastinya. Kerana telah menjadi cita-cita Bersatu untuk UMNO itu diakhiri, ditolak dan dimatikan,” katanya. – UTUSAN