fbpx

UMNO serah kepada PM mengadap Agong

AHMAD Zahid Hamidi diiringi oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir pada Perjumpaan Khas Ketua Bahagian dan Ketua Tiga Sayap dari 191 bahagian bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri di WTCKL, hari ini. - FOTO/AMIR KHALID

PETALING JAYA: UMNO menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengusulkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun UMNO mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan semalam, namun parti menghormati peranan Perdana Menteri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketika ditanya bila Perdana Menteri akan menghadap Agong, beliau hanya menjawab: “Bila masanya, terpulang.”

“Pembubaran akan ditetapkan apabila Perdana Menteri telah menghadap dan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Bila masanya? Terpulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perjumpaan Khas Bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri di sini semalam.

Perjumpaan tertutup itu berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), melibatkan 764 pemimpin sayap 191 bahagian yang terdiri daripada Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO.

Mengulas kenyataan parti lain yang menolak PRU15 diadakan pada masa terdekat, Ahmad Zahid berkata, beliau menghormati pendirian tersebut dan mereka berhak mengatakan demikian kerana masing-masing bukan daripada BN.

“Itu bukan kuasa parti, itu kuasa Perdana Menteri. Tapi kita mahu, seboleh-bolehnya semalam. Kuasa itu tertakluk kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Agong pastinya bertindak mengikut Perlembagaan Malaysia. Kita yakin, Agong akan melakukan perkenan mengikut perkiraan-perkiraan terbaik, demi kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN