PETALING JAYA : UMNO telah mencadangkan tarikh ‘tertentu’ untuk pembubaran Parlimen kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) dapat diadakan dalam masa terdekat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak memperincikan tarikh tersebut berkata, cadangan tarikh itu adalah sebelum musim tengkujuh yang dijangka pada bulan November depan.
Beliau menjelaskan, perkara tersebut merupakan keputusan yang ditetapkan oleh lima pemimpin tertinggi parti atau ‘Top Five’ dan Biro Politik serta Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, keputusan pembubaran Parlimen merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan terserah kepada Seri Paduka untuk memperkenankan permohonan setelah dikemukakan oleh Perdana Menteri.
“Apa jua tarikh, kami tunggu dengan penuh debaran dan hati terbuka di atas kebijaksanaan Perdana Menteri serta perkenan Agong. UMNO telah pun bersedia dengan sebarang keputusan sama ada pilihan raya diadakan masa terdekat atau sebaliknya,” katanya.
Beliau diminta mengulas butiran mesyuarat ‘Top Five’ selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara baru-baru ini.
Menurut Ahmad lagi, pihaknya mengemukakan cadangan tarikh itu setelah meneliti pelbagai aspek termasuk ramalan Jabatan Meteorologi ekoran peralihan monsun di seluruh negara.
“Bukan kita mahu PRU15 diadakan ketika banjir, sebaliknya sebelum musim tengkujuh atau dalam erti kata lain dalam waktu terdekat,” tegasnya.
Sementara itu ketika mengulas mesyuarat Top Five kelmarin, Ahmad menjelaskan, ia berkenaan persiapan dan strategi parti dalam menghadapi PRU15.
Katanya, ia merupakan perkara biasa memandangkan UMNO sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 sejak awal lagi.
“Hari-hari kita bincang strategi pilihan raya, bukan sahaja Top Five tetapi mesyuarat pengurusan dan mesyuarat manifesto sendiri. Tetapi mana boleh cerita butiran semua mesyuarat, ini strategi parti nanti semua orang tahu,” katanya. – UTUSAN










