UMNO ada peluang rampas Terengganu 

UMNO ada peluang rampas Terengganu 

MOHD. YUSOF NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: UMNO berpotensi merampas semula pentadbiran kerajaan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ‘selera’ pengundi rakyat Terengganu sentiasa berubah-ubah dalam mencari saf kepemimpinannya.

Veteran UMNO, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, berdasarkan pengalaman dan senario politik di Terengganu, rakyatnya adalah pengundi yang tidak takut berubah selera dalam menentukan saf kepimpinan untuk mencari yang terbaik bagi menerajui pentadbiran negeri.

Katanya, UMNO hanya perlu menampilkan barisan calon yang disenangi ramai di peringkat akar umbi kerana kecenderungan rakyat ketika ini adalah melihat keperibadian calon dan tidak memandang kepada parti diwakili semata-mata.

“Bagi saya, kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah terletak pada barisan calon yang dipertaruh dalam gelanggang PRU-15.

“Sekiranya dapat menampilkan calon yang terbaik, peluang UMNO untuk menang kembali di Terengganu sangat besar,” katanya selepas merasmikan pejabat baharu Koperasi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu Berhad di sini, semalam.

Selera pengundi Terengganu sentiasa berubah adalah merujuk kepada keputusan pilihan raya yang silih berganti antara Pas dan UMNO membuktikan rakyat negeri ini tidak takut membuat keputusan menukar kepimpinan pada bila-bila masa.

Ditanya mengenai peluang BN untuk membentuk kerajaan di peringkat Pusat dengan majoriti dua pertiga pula, bekas Ahli Parlimen Besut itu berkata, berdasarkan penelitiannya, perkara itu agak sukar berlaku.

Jelasnya, beliau menjangkakan sama ada BN, Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan pasti memerlukan gabungan untuk membentuk kerajaan selepas keputusan PRU-15 diperoleh.

Tambahnya, buat masa ini, tiada mana-mana gabungan yang boleh berada di zon selesa terutama bagi parti-parti Melayu kerana sokongan pengundi bukan Melayu tidak lagi bersama mereka.

“Pendekatan yang sepatutnya diambil oleh parti-parti Melayu ketika ini ialah bersatu-padu untuk memastikan kemenangan besar membentuk kerajaan yang stabil.

“Dalam era politik zaman dahulu, setiap kali hampir pilihan raya, kita akan cuba berkawan dengan seramai mungkin (parti lain yang boleh sehaluan) bukannya mengambil langkah yang boleh menyebabkan kita hilang kawan.

“Analoginya mudah, kalau kita dah tahu esok akan ribut, kenapa kita masih mahu mendedahkan rumah, membiarkannya terbuka kerana ini akan menyebabkan kerosakan,” katanya.

Tambahnya, parti-parti Melayu perlu mencari formula untuk bersatu-padu kerana realiti politik negara sekarang menyaksikan parti Melayu hanya mampu mengharapkan undi dari orang Melayu.

“Undi bukan Melayu saya fikir sudah pergi ke pihak lain (pembangkang), sebab itu perlunya parti-parti Melayu ini bekerjasama erat untuk menang kerusi lebih banyak pada PRU-15,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.