KOTA KINABALU: Tindakan Setiausaha Agung Parti Warisan (Warisan), Datuk Loretto S. Padua menyalahkan Pakatan Harapan (PH) sebagai punca pembubaran Parlimen disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, Razeef Rakimin berkata, tuduhan sebegitu merupakan cubaan untuk memburukkan imej PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Loretto menyatakan PH tidak layak untuk membuat bising dan membantah pembubaran Parlimen yang diumumkan semalam kerana PH sendiri telah menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU).
“Pada saya kenyataan Loretto sangat mengelirukan dan jelas menunjukkan Warisan masih belum move on dan masih berusaha untuk mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang tidak benar.
“Rakyat hari ini lebih celik dan tidak mudah diperbodohkan oleh propaganda Warisan yang cuba menuding jari terhadap PH.
“Keputusan Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman sama sekali tidak mengikat pimpinan PH untuk terus bersuara, membantah, membahas serta mengkritik sebarang tindakan salah daripada pihak kerajaan termasuk Ismail Sabri di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Razeef berkata, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dibuat banyak perkara telah terlaksana seperti Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi; Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dimulakan dengan mengembalikan status wilayah Sabah dan Sarawak.
Malah, memorandum itu juga dimeterai bagi mengelak pilihan raya dalam tempoh setahun serta mengelak pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya agar kedua-dua pihak dapat fokus kepada fasa pemulihan serta pembangunan ekonomi pasca pandemik Covid-19.
Menurut beliau, mungkin Warisan terlupa dengan tindakan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semasa pandemik Covid-19 sehingga merencatkan usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19.
Tindakan itu menyebabkan situasi semakin teruk dengan kenaikan kes yang mendadak bukan sahaja jangkitan harian tetapi, juga kes kematian.
Jelas beliau, segala tindakan PH memberi keutamaan kepada kebajikan dan keselamatan rakyat. –UTUSAN
Ends.