PONTIAN: UMNO menyifatkan tindakan 12 Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak diadakan pada tahun ini sebagai tidak wajar.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kesemua anggota Kabinet PN sepatutnya menyuarakan pandangan mereka termasuk tentang pendirian bagi mengadakan PRU15 dalam mesyuarat Kabinet dan tindakan itu disifatkan sebagai tidak ‘manis’.
“Perkara berkaitan tidak bersetuju dalam Kabinet sepatutnya tidak dbincangkan di luar kerana ia melambangkan rasa tidak percaya kepada Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad merangkap Ketua UMNO Bahagian Pontian.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, tindakan itu sebenarnya turut memberi gambaran sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri semakin berkurangan dalam kalangan anggota Kabinet.
“Semakin kurang keabsahaan. Kalau 100 peratus keabsahaannya sekarang cuma 60 peratus, 40 peratus sudah hilang. Sewajarnya isi kandungan surat dan penghantarannya tidak patut disebarkan,” ujarnya.
Kelmarin, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mengesahkan 12 Menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan pendirian untuk tidak diadakan PRU15 pada tahun ini. –UTUSAN