IPOH: Tiga individu dan sebuah syarikat didenda RM791,775 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan memiliki ribuan kasut dan selipar pelbagai jenama yang menggunakan cap dagangan palsu, tiga tahun lalu.
Hakim Norashima Khalid memutuskan demikian terhadap Yap Yin Keat, 50; Yap Kian Seng, 60; Sun Haixia, 40, dan Syarikat Enghenda Sdn. Bhd. setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam keputusannya, Norashima mendenda pengurus syarikat, Yin Keat dan dua pengarah, Kian Seng serta Sun Haixia masing-masing RM175,950 manakala syarikat itu pula didenda RM263,925.
Mahkamah turut memerintahkan setiap individu yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) dipenjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pembayaran denda sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai, namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi setiap OKS.
Mengikut pertuduhan, kesemua OKS didakwa menggunakan jenama Puma, Nike, Gucci dan Levi’s yang palsu bagi 17,595 unit kasut dan selipar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis nombor 5 dan 7, Hala Perusahaan Kledang Utara 2, Kawasan Perindustrian Menglembu, Kinta pada pukul 11.30 pagi,18 Disember 2019.
Pertuduhan terhadap ketiga-tiga individu itu dikemukakan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2)(B) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan perihal dagangan palsu atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi Syarikat Enghenda, pertuduhan dikemukakan Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(A) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP), Muhammad Ridzuan Abd. Rahim manakala kesemua OKS diwakili peguam, Mohd. Asri Osman dan Mohd. Fitri Asmuni.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menutup kesnya dengan memanggil 11 saksi manakala empat saksi di pihak pembelaan. – UTUSAN