Tertekan sebagai ketua keluarga punca lelaki kena jantung

Tertekan galas tanggungjawab ketua keluarga punca lelaki kena serangan jantung

MOHD. Azman Yacob (tiga dari kanan) melawat pameran yang disediakan selepas merasmikan Persidangan Kardiologi Asia Pasifik kali ke-13 @USM 2022 di Hotel Grand Renai, Kota Bharu, Kelantan. - FOTO/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tekanan akibat menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga merupakan antara faktor yang menyebabkan ramai golongan lelaki muda mengalami serangan jantung

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, golongan itu mudah mengalami serangan jantung apabila mereka kerap menghadapi tekanan sama ada melibatkan diri sendiri, pekerjaan atau keluarga. 

Menurutnya, antara punca yang menyebabkan penyakit jantung bagi golongan lelaki yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga adalah kerana bekerja sehingga lewat malam, tidak cukup rehat, tabiat merokok dan gaya hidup yang tidak sihat.

“Risiko penyakit ini dikesan menyerang golongan lelaki berumur seawal 20 hingga 30 tahun. Sebelum ini, kebiasaannya individu berusia 40 tahun ke atas berpotensi menghidap penyakit jantung.

“Dalam kehidupan yang lebih mencabar dengan pelbagai krisis yang dihadapi ketika ini, rakyat perlu mengubah persepsi dan membuat rawatan awal dan bukannya dirawat apabila sudah sakit,” katanya semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kardiologi Asia Pasifik Kali Ke-13 @Universiti Sains Malaysia 2022 di Hotel Grand Renai, di sini hari ini. 

Dr. Mohd. Azman memberitahu, sehubungan itu, lelaki berusia seawal 20-an perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan nasihat bagi mengelakkan risiko penyakit jantung.

Katanya, statistik pada tahun lalu menunjukkan jumlah kematian akibat penyakit jantung adalah 17 peratus daripada jumlah 109,155 kematian yang didaftarkan. 

Ujarnya, angka itu meningkat 13.2 peratus berbanding 2016 seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN