Subsidi RM77.7 bilion bantu kurang kos sara hidup - PM

Subsidi RM77.7 bilion bantu kurang kos sara hidup – PM

ISMAIL SABRI Yaakob bertanyakan sesuatu kepada penerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) dalam majlis perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Haji Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, kerajaan menyalurkan subsidi RM77.7 bilion, terbesar dalam sejarah negara.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) berjumlah RM41.7 bilion. 

“Ia juga merangkumi subsidi minyak masak paket satu kilogram dan minyak botol RM3 bilion; subsidi bil elektrik dan RM5.8 bilion. 

“Subsidi itu turut merangkumi bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain berjumlah RM1.5 bilion,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Haji Ahmad Shah (SASICC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) kepada 15 keluarga membabitkan 45 penerima yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata, negara mengharungi tempoh sukar sejak kebelakangan ini, bermula dengan pandemik Covid-19, dan kini berhadapan pula dengan krisis geopolitik dunia dan perubahan iklim global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan.

Namun, beliau berkata, berkat kerjasama Keluarga Malaysia serta kecekapan tadbir urus kerajaan membolehkan negara keluar daripada kemelut ini dan terus fokus kepada pemulihan ekonomi.

“Hari ini, prestasi ekonomi negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran pada Ogos lalu iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus,” katanya. 

Beliau berkata, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia.

“Kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada bulan September lalu berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos lalu. Kadar ini lebih rendah berbanding negara serantau dan negara lain iaitu Zon Euro (10 peratus), Amerika Syarikat (8.2 peratus), Thailand (6.4 peratus), Filipina (6.9 peratus) dan Republik Korea (5.6 peratus),” katanya. 

Beliau dalam pada itu berkata, pada 7 Oktober lalu, kerajaan membentangkan Bajet 2023 yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara kerana memperuntukkan RM372.3 bilion untuk memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

“Bajet ini bukan sekadar manifesto kerana mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakannya, yang mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir.

“Sama ada di ceruk desa atau di bandar, B40, M40, pelajar, orang kurang upaya (OKU), wanita, usahawan dan sebagainya, semua mendapat manfaat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya