Shahrir tidak isytihar pendapatan lebih RM1 juta 2013-2018 - Saksi

Shahrir tidak isytihar pendapatan lebih RM1 juta 2013 hingga 2018 – Saksi

SHAHRIR Ab. Samad (tengah) hadir pada perbicaraan kesnya yang didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan ke-21 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad tidak pernah mengisytiharkan pendapatannya melebihi RM1 juta dalam tempoh 2013 hingga 2018.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Tuan Zulkifli Tuan Lah, 48, yang merupakan Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN berkata, maklumat itu diperoleh daripada rujukan Borang BE Taksiran. 

Tambahnya, borang tersebut merupakan maklumat-maklumat pendapatan individu melalui penggajian yang diterima dan diisytiharkan Shahrir.

“Saya sahkan bahawa Tan Sri Shahrir tidak pernah mengisytiharkan sebarang pendapatan melebihi RM1 juta bagi tahun-tahun taksiran 2013 sehingga 2018,” kata saksi itu di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Menurut saksi itu, pendapatan yang diisytiharkan oleh shahrir pada tahun 2013 ialah RM87,834.00; 2014 (RM128,104.00), 2015 (RM213,394.00), 2016 (RM189,545.00), 2017 (RM267,090.00) dan 2018 (RM193,191.00).

Mengulas lanjut, saksi itu berkata, berdasarkan mana-mana individu wajib melaporkan apa-apa perolehan atau keuntungan lain yang diterima selain daripada penggajian kepada pihak LHDN mengikut peruntukan Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).

Ketika pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali bertanya kepada Tuan Zul, sekiranya seseorang itu menerima sumbangan dan sumbangan tersebut dimasukkan ke dalam akaunnya, adakah ia perlu diisytiharkan kepada LHDN? Saksi itu menjawab ‘Ya’.

“Daripada segi penaksiran, sekiranya jumlah itu (sumbangan) diterima oleh individu, tidak kira lah untuk apa, sewajarnya ia melaporkan kepada LHDN di bawah kategori F (perolehan atau keuntungan yang tidak terjatuh di bawah mana-mana perenggan terdahulu) kerana ia tidak melibatkan penggajian.

“Individu itu perlu melaporkannya dahulu kepada LHDN sebelum pihak LHDN tentukan sama ada ia dikenakan cukai ataupun tidak,” jawabnya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Ketika pemeriksaan balas, peguam bela, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah telah bertanya adakah saksi itu atau LHDN tidak menjalankan siasatan status kemasukan RM1 juta ke akaun Shahrir namun saksi itu menjawab, beliau tidak tahu. 

Menurut saksi itu, penyiasatan bukan antara bidang tugas bagi jabatannya selain tiada semakan dilakukan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Muhammad Jamil bersambung lagi esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya