KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mempertahan kenyataan medianya di Mahkamah Tinggi di sini Isnin lalu yang mempertikai kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan empat pucuk surat berkaitan lima transaksi wang tunai yang dijanjikan oleh Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau menjelaskan, kenyataan media itu tepat dan tidak diada-adakan serta bertujuan menjawab pertanyaan wakil media berhubung kesahihan transaksi wang tunai sama ada ia benar-benar diberikan oleh Arab Saudi.
Sambil memohon maaf, Muhammad Shafee menyatakan, pihak pembelaan hanya berniat menjelaskan kepada pihak media bagaimana mereka mengendalikan kes dan tidak sekali-kali menyentuh kes pendakwaan.
Beliau mempersoal mengapa pendakwaan tidak mengemukakan empat pucuk surat yang mendedahkan lima transaksi berkenaan iaitu dua daripada Kementerian Kewangan Riyadh manakala dua lagi daripada Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud yang dihantar di antara Ogos 2011 dan Ogos 2012.
“Keempat-empat surat itu diperolehi oleh pihak pembelaan selepas menjalankan penyelidikan sendiri,” jelasnya ketika menjawab aduan yang dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, semalam.

Sri Ram mengemukakan aduan tersebut pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib.
Ketika perbicaraan disambung pada sesi petang semalam, Sri Ram menafikan pihak pendakwaan menyembunyikan empat pucuk surat daripada Arab Saudi berkaitan lima transaksi wang tunai berjumlah hampir AS$180 juta yang dijanjikan kepada Najib.
Sri Ram memberitahu, dokumen itu tidak dikemukakan kerana tidak berkaitan dengan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang sedang dihadapi oleh Najib.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Muhammad Shafee Abdullah mengadakan sidang media memaklumkan perkara itu di luar mahkamah, sebagai serangan secara terus kepada pihak pendakwaan.
Pada prosiding hari ini, Sri Ram sekali lagi mengulangi pendiriannya agar sebarang aduan perlu dibangkitkan di hadapan mahkamah, bukan kepada pihak media dan ‘dibicarakan’ di khalayak ramai.
Beliau menegaskan, ini kerana pihak pendakwaan tidak boleh menjawab atau memberi maklum balas terhadap sebarang dakwaan yang dibangkitkan kepada pihak media di luar mahkamah.
“Isu yang dipertikaikan di mahkamah tidak sepatutnya dibincangkan atau dibangkitkan kepada pihak media kerana kami tidak boleh menjawabnya,” jelas Sri Ram.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian memaklumkan pendirian mahkamah bahawa isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak dianggap telah diselesaikan.
Isnin lalu, Muhammad Shafee mengadakan sidang media di pekarangan mahkamah bagi meluahkan rasa tidak puas hati atas kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan empat pucuk surat berhubung lima transaksi wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.
Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, Najib dijanjikan hadiah wang tunai AS$1.17 bilion daripada individu yang didakwa kerabat Diraja Arab Saudi bagi menghargai peranan beliau selaku pemimpin Islam moden ketika berjawatan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN