Sesiapa sahaja bebas bertanding di Langkawi - Utusan Malaysia

Sesiapa sahaja bebas bertanding di Langkawi

NOR SAIDI NANYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: UMNO Bahagian Langkawi meraikan konsep demokrasi yang diamalkan negara ini dan sesiapa sahaja bebas bertanding di Parlimen itu termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kenyataan itu dibuat Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan selepas Dr. Mahathir mengumumkan akan mempertahan kerusinya sebagai penyandang Ahli Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bagi pihak UMNO Bahagian Langkawi, kami berpendapat, sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi, seharusnya kita meraikan demokrasi tersebut. Sesiapa sahaja bebas untuk bertanding di mana-mana kawasan yang mereka pilih. 

“Saya dan rakan-rakan UMNO Bahagian Langkawi yang lain pada waktu ini mahu lebih fokus kepada usaha-usaha membantu rakyat Langkawi sedaya upaya kami dengan status kami sebagai pembangkang di Parlimen ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) mengumumkan akan bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU15.

Sementara itu, ujar Nor Saidi, UMNO Bahagian Langkawi kini sedang membuat persiapan bagi mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu yang dijadualkan pada 15 Oktober nanti.

Jelasnya, bagi menghadapi PRU15, mereka akan menumpukan fokus kepada kerjasama antara semua sayap parti dan akar umbi setelah menyambut baik pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu.

“Dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh keseluruhan jentera parti hari ini kami yakin bahawa kami telah bersedia menghadapi PRU15.

“Kami yakin dan percaya pengundi-pengundi di Langkawi akan memilih calon-calon daripada parti yang diyakini boleh memberi khidmat bakti dan jaminan kestabilan demi masa depan yang lebih baik,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya