Senarai calon BN Johor diumum 3 November

Senarai calon BN Johor diumum 3 November

ADHAM BABA (dua dari kiri) menyerahkan faedah pencen penakat Perkeso kepada Muhammad Redzuan di Kampung Batu 4, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) Johor akan mengumumkan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 3 November ini. 

Justeru, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba meminta semua pihak menunggu hari pengumuman yang akan diadakan di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor itu.

“Saya telah pun bersama-sama dengan Pengerusi Perhubungan BN negeri memastikan bahawa persiapan PRU, iaitu 5 November ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon dan kita dapat maklum Johor akan umum pengenalan calon pada 3 November ini.

“Jadi, kita siap sedia siapa juga calon dikemukakan. Namun menjadi amalan parti kita BN supaya meletakkan calon yang boleh menang untuk diketengahkan. 

“Kita tunggu 3 November untuk ‘finalise’ nama-nama yang akan dihubungi kepada semua calon. Di Johor nama-nama besar yang perlu kita lihat tentulah yang memungkinkan kita menang,” katanya mengulas senarai yang tular memaparkan nama 26 calon BN Johor yang didakwa akan bertanding pada PRU 15.

Dr. Adham yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ditemui selepas menyerahkan faedah pencen penakat Perkeso kepada Muhammad Redzuan Jamil, 30, suami kepada Allahyarhamah Nurul Nazihah Kamalul Arifin yang maut terbakar dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.7, Lebuhraya Utara-Selatan, baru-baru ini. 

Berdasarkan senarai itu, BN Johor mengekalkan beberapa nama pemimpin di negeri itu untuk membantu BN mengekalkan kerusi yang dimenangi parti komponen sebelum ini.

Antara nama yang tersenarai termasuk Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad, Presiden MCA Datuk Dr. Wee Ka Siong, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Dr. Adham dan penyandang kerusi Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bagaimanapun, nama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian tidak tersenarai, sebaliknya Setiausaha Kerja UMNO,  Datuk Sumali Reduan menggantikannya untuk Parlimen Pontian.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang kalah pada PRU 14 kepada Syed Saddiq Abdul Rahman diletakkan di Parlimen Pagoh menentang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dicalonkan di kerusi Parlimen Kota Tinggi dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri ir. Hasni Mohammad pula diletakkan di Parlimen Simpang Renggam. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya