IPOH: “Suami sempat ajar Nawi mengucap, dia menghembuskan nafas terakhir depan suami,” kata Gee, 49, rakan Azranawi Radzi yang maut dalam nahas jalan raya bersama isteri di Lenggong semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 6 petang di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar – Gerik, Azranawi, 42, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Rosnah Ahmad, 44, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong.
Kejadian berhampiran Pusat Rekreasi Lata Kekabu itu melibatkan skuter jenis KYMCO ditunggang pasangan suami isteri tersebut dan sebuah kereta Proton Iswara.
Menurut Gee, kejadian berlaku ketika dia dan suami dikenali Raja Shaharuddin, 53, bersama dua motosikal lain termasuk mangsa berkonvoi dari arah Gerik ke Ipoh.
Katanya, mereka sepatutnya singgah makan di sebuah restoran terkenal di Lenggong sebelum mendapati berlaku kemalangan yang rupa-rupanya melibatkan rakan sendiri.
“Skuter ditunggang Nawi dan Ros berada paling hadapan dan kami rancang untuk singgah makan di Tasik Raban kira-kira 200 meter dari lokasi kemalangan. Ketika hampir di lokasi, saya lihat ada kemalangan dan minta suami perlahankan motosikal.
“Semasa melalui kawasan kemalangan, saya terkejut apabila lihat ada kasut berwarna oren di atas jalan dan tahu itu kasut Nawi dan Ros. Saya segera turun sebelum melihat Ros terperosok di bawah penghadang jalan.
“Suami segera menghampiri Nawi dan mengajarnya mengucap, dia hembuskan nafas terakhirnya depan suami,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Menurutnya, mereka berkonvoi tiga buah motosikal dan masuk ke Betong, Thailand kelmarin sebelum kembali ke negara ini melalui Gerik pada pukul 4 petang semalam.
Katanya, pasangan suami isteri yang suka bersedekah dan mempunyai perniagaan pulut ayam itu sering ke Thailand bagi membeli barang-barang untuk jualan.
“Mereka ini memang suka sedekah dan selalu belanja kawan-kawan makan, sebab itu rezeki murah. Kalau malam Jumaat pun, selalu sangat bersedekah nasi lemak.
“Semalam, mereka tidak banyak beli barang niaga lagipun Nawi cakap mereka tutup kedai beberapa hari. Cuma yang dibeli adalah coklat untuk empat anak mereka yang tinggal di rumah,” katanya.
Pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak yang masih bersekolah, Muhaimin Anas, 16, Muhammad Darwisy Imran, 14; Maher Uzair, 9, dan Miftahul Nurjannah, 7. – UTUSAN