KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh 19, 20 dan 26 Januari tahun depan untuk mendengar semakan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dipenjara 12 tahun.
Mahkamah juga menetapkan 2 Disember ini untuk pengurusan kes berkenaan manakala serahan dokumen pada atau sebelum 4 Januari 2023.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Muhammad Farhan Shafee selepas tamat prosiding dalam talian bagi pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yussof dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa.
Hadir pada prosiding yang dijalankan ialah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah; Muhammad Farhan; Syafiqah Sofian dan Wan Arfan Wan Othman yang mewakili Najib, manakala Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul mewakili pihak pendakwaan.
Muhammad Shafee memfailkan permohonan tujuh volum dokumen mahkamah termasuk eksibit dan sijil perakuan segera. Beliau telah menerima dua afidavit daripada pihak pendakwa raya dan satu lagi daripada wartawan Astro Awani.
Sementara itu, Sithambaram memaklumkan, pihaknya tiada bantahan setelah Muhammad Shafee meminta tempoh 10 hari bermula hari ini untuk menjawab afidavit berikutan tarikh akhir pada 26 Oktober ini.
Mahkamah kemudian memerintahkan supaya Muhammad Shafee menjawab afidavit selewat-lewatnya pada 31 Oktober ini, manakala pendakwa raya akan membalas afidavit tersebut selewat-lewatnya pada 14 November dan Muhammad Shafee membalasnya selewat-lewatnya 28 November ini.
Pada 6 September lalu, Najib memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.
Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara terhadap penyandang kerusi Parlimen Pekan itu.
Najib memohon menyemak keputusan panel itu yang menolak permohonan pembelaan untuk memasukkan bukti baharu berkaitan hakim bicara, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan membatalkan perbicaraan kes itu.
Najib turut menyemak keputusan mahkamah yang menolak permohonan untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara daripada mendengar rayuan akhir tersebut.
Beliau turut memohon agar pendengaran rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim yang lain yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan sesuai.
Antara alasan dikemukakan Najib dalam notis usul semakan itu ialah Hakim Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan apabila mendengar perbicaraan itu kerana beliau merupakan bekas Kaunsel Kumpulan Maybank yang memberi pinjaman kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau juga menyatakan, pasukan pembelaan yang baharu tidak diberikan ruang dan peluang untuk bersedia sebelum berhujah dalam rayuan akhir itu.
Najib juga mendakwa pendengaran rayuan akhir itu telah dijalankan secara sebelah pihak (ex-parte) apabila tiada hujahan daripada pihak pembelaan.
Selain itu, bekas Presiden UMNO itu menyatakan berlaku konflik kepentingan apabila Hakim Tengku Maimun enggan menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut sedangkan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim dikatakan menunjukkan rasa tidak senang terhadap Najib sejak Mei 2018.
Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain. – UTUSAN