Seluruh bilik gerakan BN di Arau tutup, bayangan jelas Shahidan gugur - Utusan Malaysia

Seluruh bilik gerakan BN di Arau tutup, bayangan jelas Shahidan gugur

BILIK gerakan BN di Arau mula tutup berikutan desas-desus nama Shahidan Kassim digugurkan sebagai calon Parlimen Arau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Desas-desus nama Datuk Seri Shahidan Kassim tidak terpilih sebagai calon di Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nampaknya seakan-akan menjadi kenyataan.

Hal demikian apabila dikatakan semua 113 bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Arau telah ditutup selain bendera diturunkan.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Arau antara yang terawal membuka bilik gerakan.

Malah, Shahidan juga antara yang paling aktif mengatur program bersama jentera dan ahli parti di seluruh bahagian itu sebagai persediaan mendepani PRU15.

“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan. Kali pertama dalam sejarah,” kata Shahidan dalam status Facebooknya.

Menjelang pengumuman calon BN spekulasi bertiup kencang nama Shahidan yang juga Ketua UMNO bahagian itu dikatakan gugur sebagai calon bagi Parlimen Arau dalam PRU15.

Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

Setiap kali PRU sejak 1986, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), Shahidan tidak pernah tewas termasuk ketika berhadapan dengan dua Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din (bekas) dan Datuk Hashim Jasin iaitu pada 2004 (DUN Tambun Tulang), 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Parlimen Arau).

Selain Shahidan, seorang lagi pemimpin ‘otai’ Datuk Zahidi Zainul Abidin juga dikatakan tidak terpilih mempertahan kerusi Parlimen Padang Besar dalam pilihan raya kali ini.

Akar umbi UMNO Bahagian Arau mendesak agar kepimpinan tertinggi parti mengekalkan Shahidan sebagai calon Parlimen Arau dalam PRU15.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, rata-rata mereka memberi peringatan akan memastikan calon UMNO tewas di kerusi berkenaan sekiranya nama Shahidan digugurkan pada kali ini.

Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Arau, Abdul Karim Sulaiman berkata, semua ahli parti itu di peringkat bahagian masih menagih khidmat Shahidan sebagai calon untuk memimpin parti itu di kawasan berkenaan.

“Kami tetap sokong Shahidan dan sekiranya ada calon lain dihantar ke sini, kami akan pastikan Arau kalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya