Selain Saddiq, nasib Shafee juga ditentukan hari ini

Selain Saddiq, nasib Shafee juga ditentukan hari ini

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selain Ahli Parlimen Muar, Sayed Saddiq Syed Abdul Rahman, satu lagi Mahkamah Tinggi di sini hari ini akan membuat keputusan dalam kes peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas empat tuduhan menerima RM9.5 juta dan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Wang RM9.5 juta itu didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hasil aktiviti haram.

Berdasarkan ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan, pihak pendakwaan menyatakan Muhammad Shafee menerima wang tersebut yang dikatakan sebagai yuran guaman dan dengan sengaja menyembunyikan fakta itu daripada LHDN.

Keputusan pada akhir kes pendakwaan itu yang dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin akan menentukan sama ada Muhammad Shafee akan dipanggil membela diri atas pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya atau dibebaskan.

Bagaimanapun, sekiranya beliau dibebaskan daripada pertuduhan, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz masih boleh membuat rayuan.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA).

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 12 Mei lalu selepas memanggil lapan orang saksi. Perbicaraan itu bermula pada 21 Mei 2021.

Antara saksi yang dipanggil dalam itu ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku, Rosnita Ahmad, bekas pegawai LHDN, Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar.

Uma Devi juga saksi dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dan penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN