‘Saya sudah ada kerusi sendiri’ - Utusan Malaysia

‘Saya sudah ada kerusi sendiri’

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP mempunyai calon sesuai untuk mencabar bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tidak timbul soal calon yang bertanding di Parlimen itu nanti kerana parti tersebut akan tetap mempertahankan kerusi berkenaan.

“Soal itu tak timbul. Kita ada calon yang sesuai. Sudah tentu kita akan mempertahan kerusi Parlimen Bentong, tetapi saya sudah ada kerusi untuk bertanding,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, penduduk Pekan Telemong di sini mencabar Anthony Loke bertanding di kerusi Parlimen Bentong menentang Tiong Lai pada PRU15.

Cabaran itu dibuat ekoran kenyataan Anthony Loke dalam sebuah akhbar berbahasa Cina minggu lalu bahawa DAP akan membenam kerjaya politik bekas Presiden MCA tersebut jika menjadi calon Parlimen Bentong.

Anthony Loke turut dilaporkan berkata, DAP sedang mengumpul ‘peluru’ khas Parlimen Bentong untuk digunakan bagi ‘menyerang’ Tiong Lai sehingga tiada peluang untuk bangkit dalam politik.

Bagaimanapun, Anthony Loke yang juga bekas Menteri Pengangkutan menyangkal ‘peluru’ khas itu membawa maksud sebarang agenda untuk ‘menyerang’ Tiong Lai.

“Peluru itu adalah analogi untuk dana politik, jadi maksudnya pengumpulan dana untuk PRU15,” jelasnya.

Pada PRU14 lepas, Wong Tack yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menewaskan Tiong Lai dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,032 undi.

Tack daripada DAP memperoleh 25,716 undi mengatasi Tiong Lai (23,684 undi) dan N. Balasubramaniam (Pas) yang hanya mendapat (5,706 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN