Saya rasa lebih selamat bila isteri di sisi - YonnyBoii - Utusan Malaysia

Saya rasa lebih selamat bila isteri di sisi – YonnyBoii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Yonnyboii, 24, tidak berkecil hati dengan pandangan sesetengah pihak yang mungkin menganggapnya terlalu ‘melekat’ atau ‘clingy’ dengan isterinya, Nik Nazira Narriman.

Menurut Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, dia enggan terlalu memikirkan hal tersebut kerana sedar setiap orang memiliki pandangan masing-masing.

“Clingy? Biarlah orang nak cakap apa sebab setiap orang, pandangannya berbeza-beza. Bagi saya, dalam apa juga keadaan, saya perlukan dia. Kalau tiada dia di sisi, saya jadi gementar untuk berdepan dengan orang.

“Saya memang mahu dia sentiasa di sisi. Isteri ialah sistem sokongan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan pelancaran single terbaharu, Kecewa, semalam.

Penyanyi lagu Sakit dan Salahku juga bersyukur kerana sejak berkahwin, keadaan dirinya lebih terurus.

“Saya menghidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif. Isteri saya saja yang faham keadaan ini, meskipun pada awal perkahwinan, dia baru kenal diri saya yang sebenar.

“Alhamdulillah, dia faham dan tahu apa yang saya perlukan. Kadangkala, kalau saya terlampau teruja, dia akan tegur. Dia ajar saya bagaimana untuk jadi lebih tenang. Bagi saya, adanya dia lebih menyenangkan kerja.

“Saya dulu, banyak fikir. Sekarang, bila ada isteri, memang saya mahu dia sentiasa ada di sisi,” katanya.

Sementara itu, mengaitkan Kecewa dengan kehidupannya sekarang, Yonny berkata, lagu itu tidak menterjemahkan perasaannya ketika ini.

“Saya buat lagu itu sudah lama. Ia apa yang saya lalui dulu, selain turut mengaitkan pengalaman dan kisah rakan yang saya tulis menjadi lagu.

“Lagu itu tidak ada kaitan dengan diri saya sekarang. Saya berada pada tempat yang membahagiakan kini. Perkahwinan membuka alam yang baharu buat saya.

“Saya sangat selesa dan rasa lebih selamat bersama isteri,” katanya.

Yonny mendirikan rumah tangga dengan Nazirah pada 20 November 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.