Rumah sewa: Pemilik rumah dan penyewa perlu bincang

Rumah sewa: Pemilik rumah, penyewa perlu bincang untuk situasi menang-menang

DR MOHD SAZILI SHAHIBI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM :  Isu rumah sewa melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang tinggal di luar kampus boleh diatasi jika pemilik rumah dan pelajar sebagai penyewa duduk berbincang terma-terma perjanjian sewa rumah bagi mewujudkan situasi menang-menang antara kedua pihak.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP),  Prof. Dr. Mohd.Sazili Shahibi, pihaknya berharap pemilik rumah di sekitar kawasan luar kampus membenarkan pelajar UiTM untuk menyewa rumah mereka.

“Jika kita telusuri sejarah, pelajar UiTM yang tinggal menyewa di sekitar Shah Alam contohnya telah bermula sejak tahun 1980-an apabila pelajar semakin bertambah dan pelajar yang berada di tahun akhir perlu tinggal di luar.

“Persepsi pelajar UiTM yang tinggal di luar tidak berdisiplin dan tidak menjaga rumah milik tuan rumah dengan baik perlu diubah,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Karnival Sukan Mahasiswa (Karisma) 2022 di Pusat Sukan UiTM malam tadi.

Terdahulu baru-baru ini, pihak media melaporkan UiTM mencari resolusi terbaik bagi membantu mahasiswa mendapatkan rumah sewa dengan membentuk Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa.

Pengarah Kanan Jabatan Komunikasi UiTM, Prof. Madya Datin Dr. Norazida Mohamed berkata, UiTM mewujudkan portal rumah sewa NR (https://nr.uitm.edu.my) bagi membantu memudahkan urusan mahasiswa mendapatkan rumah sewa.

Mengulas lanjut Mohd.Sazili berkata, beliau berharap pemilik rumah dapat menasihati pelajar UiTM untuk menjaga hartanah milik mereka dengan baik.

“Setakat ini saya belum menerima laporan pelajar kita menyebabkan kerosakan rumah milik pemiliknya.

“Jika ada pun perkara sedemikian ia melibatkan segelintir pelajar dan pemilik rumah boleh sahaja menasihati penyewa terbabit untuk lebih berdisiplin semasa tinggal di rumah mereka. Sama-samalah kita mendidik generasi muda kita,”katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN