KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa penyandang kerusi Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli tidak mempunyai hubungan dengan syarikat LP Multi Terminal Sdn. Bhd. yang akhirnya dilantik sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan, empat tahun lalu.
Penolong Pengurus Besar (Korporat) Lembaga Pelabuhan Bintulu, Anuar Aikne, 57, berkata, ini termasuk Rozman juga tiada hubung kait dengan mana-mana pemegang saham, pengarah atau pengarah bersama di dalam syarikat berkenaan.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Rozman, saksi pendakwaan ke-5 itu juga bersetuju bahawa pelantikan operator pelabuhan Labuan adalah bidang kuasa ahli-ahli Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan (LPL) dan bukan secara perseorangan.
Muhammad Rafique: Anda bersetuju yang keputusan akhir untuk pelantikan operator pelabuhan adalah di tangan ahli-ahli lembaga pengarah?
Anuar: Setuju.
Muhammad Rafique: Anda juga setuju yang akhirnya syarikat berjaya dilantik oleh lembaga pelabuhan Labuan adalah syarikat LP Multi Terminal Sdn. Bhd?
Anuar: Setuju.
Muhammad Rafique: Anda juga setuju dengan saya yang syarikat ini tiada kaitan langsung dengan pemegang saham, pengarah dalam syarikat ini dengan Rozman?
Anuar: Setuju.
Saksi itu berkata, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penilaian bagi perolehan Operation and Facility Management of Labuan Liberty Terminal in FT Labuan (Senarai Pendek) pada 19 Oktober 2017.
Katanya, jawatankuasa penilaian itu berfungsi untuk membuat penilaian ke atas tiga syarikat yang telah disenarai pendek untuk mengemukakan cadangan penuh kos dan teknikal bagi perolehan tersebut.
Tiga syarikat berkenaan adalah Bintulu Port Sdn. Bhd., Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) dan LP Multi Terminal Sdn Bhd.
“Sepanjang menjalankan proses penilaian ini, saya bersama ahli jawatankuasa lain mengadakan mesyuarat dan menggunakan dokumen yang dikemukakan oleh pihak syarikat berkenaan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Perbicaraan itu didengar di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Rozman selaku pemohon, manakala Rozman hadir di mahkamah dan duduk di kandang tertuduh.
Sementara itu, ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi bagaimana Anuar mengetahui pelantikan LP Multi Terminal sebagai operator, saksi itu berkata operasi pelabuhan berkenaan kini diuruskan oleh salah satu anak syarikat tersebut.
Dalam prosiding hari ini, Pegawai Tadbir (Pentadbiran) Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) Terry Petrus Anak Tawi yang juga saksi pendakwaan ke-4 turut memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Rozman, 57, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) untuk mendapatkan kontrak bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd (LLPM) yang mana bapa dan adiknya didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
Tertuduh yang juga Ketua Whip Warisan didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018 di Bilik Mesyuarat Timbalan Ketua Setiausaha, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya.
Rozman didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN