Rozman Isli terima elaun RM49,305.45 - Saksi - Utusan Malaysia

Rozman Isli terima elaun RM49,305.45 – Saksi

ROZMAN Isli hadir di Mahkamah Sesyen bagi sambung perbicaraan berhubung pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa penyandang kerusi Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli telah dibayar elaun sebanyak RM49,305.45 sepanjang tempoh lantikan sebagai ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) selama setahun.

Penolong Pengurus Besar (Korporat) Lembaga Pelabuhan Bintulu, Anuar Aikne, 57, berkata, bayaran elaun itu telah dibuat bermula 27 Mac 2017 hingga 26 Mac 2018.

Saksi pendakwaan ke-5, itu berkata, sebanyak RM45,806.45 telah dibayar untuk elaun tetap bulanan (ETB) kepada Rozman dan RM3,500 untuk kemudahan perkhidmatan telefon.

Beliau memberitahu yang bidang tugasnya dalam jawatan itu antaranya menandatangani baucar bayaran untuk pembayaran elaun kepada Ahli Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan, merancang, menyelaras dan memantau aktiviti kewangan, perolehan dan pengurusan aset Lembaga Pelabuhan Bintulu.

“Dalam tahun 2017 dan 2018, saya ada menandatangani proses pembayaran elaun kepada Rozman yang masa itu merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah LPL.

“Urusan pembayaran ini diuruskan oleh Lembaga Pelabuhan Bintulu memandangkan urusan pentadbiran dan kewangan LPL di bawah tanggungjawab Lembaga Pelabuhan Bintulu,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Rozman yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) yang mana bapa dan adik lelakinya didakwa mempunyai kepentingan.

Perbicaraan itu didengar di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Rozman selaku pemohon.

Rozman hadir di mahkamah dan duduk di kandang tertuduh.

Selain itu, saksi memberitahu, Lembaga Pelabuhan Labuan juga telah membayar elaun sebanyak RM32,100 yang mana RM30,000 untuk bayaran elaun tetap bulanan (ETB) dan RM2,100 lagi untuk kemudahan perkhidmatan telefon kepada Rozman sebagai ahli lembaga pengarah bermula 27 Mac 2017 hingga 26 Mac 2018.

Anuar juga menambah, Rozman dibayar elaun sebanyak RM25,541.94 yang mana RM22,741.34 untuk bayaran ETB dan RM2,800 untuk kemudahan perkhidmatan bagi jawatan sama bermula 14 Mei 2019 sehingga 13 Mei 2020.

Rozman, 57, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan kontrak bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd (LLPM) yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Tertuduh yang juga Ketua Whip Warisan didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018 di Bilik Mesyuarat Timbalan Ketua Setiausaha, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya.

Rozman didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya