RM3.28b sasaran nilai jualan Kempen Beli Barangan Malaysia

RM3.28b sasaran nilai jualan Kempen Beli Barangan Malaysia 2022

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) melawat gerai pameran pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di Angsana Mall, Johor Bahru. – FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan nilai jualan berjumlah RM3.28 bilion sempena Kempen Beli Barangan Malaysia, tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding kutipan nilai jualan tahun lalu iaitu RM3.08 bilion.

Menurut beliau, kempen itu telah mula dilaksanakan kerajaan sejak 1984 bertujuan untuk menggalas pengguna memilih produk dan perkhidmatan tempatan.

“Saya yakin dengan kemampuan produk dan perkhidmatan tempatan, ia bukan sahaja setanding dengan jenama antarabangsa, sama kualiti malah pada harga lebih murah.

“Oleh itu, kempen ini dilaksana bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan Keluarga Malaysia, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang produk tempatan dan juga membantu pengusaha memasarkan produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Tahun 2022 dan Pelancaran Penandaan Logo Barangan Malaysia yang diadakan di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh.

Tambah Alexander Nanta Linggi, penandaan logo baharu itu merupakan satu penambahbaikan yang merangkumi tiga kategori iaitu produk Malaysia, buatan Malaysia dan juga rekaan Malaysia.

“Penandaan Logo Barangan Malaysia yang baharu ini akan berkuat kuasa bermula 1 November ini yang bertujuan untuk melihat lebih banyak produk tempatan diiktiraf dan dikenali sama ada di pasaran domestik mahupun antarabangsa.

“Logo Buatan Malaysia ini akan menjadi pemangkin serta nilai tambah dan juga jaminan kualiti terhadap produk sesuatu produk tempatan kerana ia perlu melalui ujian saringan kualiti serta pembungkusan sewajarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Karnival Barangan Malaysia 2022 berkenaan akan dianjurkan selama tiga hari bermula hari ini melibatkan seramai 127 pempamer terdiri daripada pengusaha produk dan perkhidmatan tempatan.

Salah seorang pengusaha, Norida Dahlan, 58, memberitahu, dia menyambut baik usaha kerajaan mempromosi produk dan mengukuhkan pengusaha tempatan melalui Kempen Beli Barangan Malaysia.

Pemilik syarikat kraftangan Norli Creation itu memberitahu, kempen berkenaan membantu perniagaan yang diasaskan bersama suami sejak 2016 itu berkembang.

“Saya memang banyak melibatkan diri dengan pelbagai expo khususnya seperti kempen beli barangan tempatan ini, hal ini kerana ia memberi kami peluang untuk memasarkan produk kepada pasaran lebih luas.

“Perniagaan saya adalah menghasilkan produk jahitan seperti tudung, pakaian, beg tangan dan topi menggunakan kain yang dicorakkan dengan tumbuh-tumbuhan tempatan, ia agak unik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya