“SEORANG personaliti filem paling luar biasa di India yang memukau dan menghiburkan penonton merentas generasi.”
Itu petikan penghargaan daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi terhadap pelakon legenda yang sudah mencecah usia 80 tahun, Amitabh Bachchan, baru-baru ini.
Semasa ulang tahun kelahiran Bachchan, Selasa lalu, peminat bintang Bollywood berkumpul di luar rumah pelakon filem itu di Mumbai, bagi meraikan sumbangan besar beliau dalam industri perfileman.
Pameran retrospektif gambar pelakon Kabhi Kushi Kabhi Gham itu dan filem yang dilakonkan sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan ditayangkan di India.
Bermula Sabtu lalu, festival pertama bagi tayangan filem terkenal Bachchan yang dianjurkan Yayasan Warisan Filem iaitu pertubuhan bukan berasaskan keuntungan diadakan selama empat hari di 22 pawagam di 17 bandar di seluruh dunia.
Pameran itu diketuai pembikin filem, Shivendra Singh Dungarpur yang bertujuan memelihara 60 filem Bachchan dalam arkib khas di bandar Mumbai.
Pengarah, Christopher Nolan berkata, arkib itu akan ‘membina reputasi antarabangsa untuk kecemerlangan.’
Pameran itu turut menampilkan 50 keping gambar lama yang merupakan koleksi SMM Ausaja.
Ausaja merupakan pakar dalam sejarah perfileman India dan pengarang beberapa buku sejak tiga dekad lalu.











