
PETALING JAYA: Tindakan kabinet meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menerima pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak meskipun pelaksanaannya pernah ditentang sebelum ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya awal bulan ini memaklumkan kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, di New Zealand pada 30 September lalu.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa persidangan Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu memaklumkan CPTPP bagi Malaysia akan mula berkuat kuasa pada 29 November ini.
Menurut Mohamed Azmin, ratifikasi CPTPP bagi Malaysia dianggap selesai dan Malaysia merupakan negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian itu.
Mohamed Azmin dalam laporan media sebelum ini menegaskan bahawa hak dan kepentingan bumiputera tidak akan terjejas jika kerajaan meratifikasikan CPTPP.
Jelasnya, terdapat dasar yang jelas (cut of policy) bagi melindungi hak dan kepentingan bumiputera seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan ketika negara menandatangani perjanjian CPTPP pada 2018.
Bagaimanapun Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) ketika dihubungi Utusan Malaysia berpendapat sebaliknya, di mana tindakan MITI meratifikasi CPTPP bakal menjejaskan usahawan bumiputera khususnya Melayu.
Presidennya, Abd. Halim Husin berkata, meskipun terdapat kebaikan meratifikasi CPTPP namun ia lebih memanfaatkan perusahaan berskala besar berbanding perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Jelasnya, berdasarkan catatan DPMM dianggarkan lebih kurang empat peratus usahawan bumiputera terlibat dalam keseluruhan eksport luar negara dan ia tidak memberi manfaat besar dengan pelaksanaan CPTPP.
Bumiputera
“Jadi, empat peratus ini adalah amat kecil kepada bumiputera di mana mereka kebanyakannya mempunyai perniagaan dalam Malaysia dan tidak ke luar negara, sudah tentu CPTPP akan menyebabkan perniagaan mereka terjejas.
“Seterusnya akan berlaku lambakan kemasukan barang import dan menyebabkan kemandirian kita menghasilkan makanan akan tergugat dan pengusaha tempatan akan menjalani saingan dalam perniagaan disamping menganggu harga barangan yang dijual,” katanya.
Menurut Abd. Halim, usahawan-usahawan bumiputera akan tertekan selepas CPTPP diratifikasi kerana ia memberikan kelebihan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat besar yang mengeksport ke luar negara.
“Bagi PKS sebenarnya membebankan dan menyebabkan mereka lebih tertekan terutamanya sekarang inflasi meningkat dan kadar mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) sedang menaik serta kadar faedah juga turut akan meningkat tahun hadapan.
“Mereka akan tertekan dari segi pembayaran dan aliran tunai tahun hadapan,” katanya.
Namun berbeza dengan DPMM, Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), dalam satu kenyataan baru-baru ini mengatakan sokongan penuh terhadap ratifikasi CPTPP.
President SME Malaysia, Ding Hong Sing ketika dihubungi memaklumkan, ratifikasi CPTPP memberi peluang besar kepada produk tempatan untuk memasuki negara-negara yang meratifikasi perjanjian berkenaan misalnya Kanada.
Katanya, barangan tempatan yang dieksport ke negara-negara terlibat tidak dikenakan cukai serta mempunyai peluang cerah untuk menembusi pasaran tempatan di sana ekoran harga yang bakal ditawarkan murah berbanding barangan tempatan negara terbabit.
“Barangan kita boleh bersaing dengan barangan dari negara lain kerana tiada cukai jadi barang boleh murah sikit dijual di sana selain kita mampu mencabar pasaran antarabangsa.
“Bagi barang mereka yang memasuki negara kita pula tidak semuanya akan dijual murah misalnya Kanada kos overhed di sana tinggi jadi kalau masuk Malaysia barang mereka pasti akan mahal sedikit dari barang PKS tempatan,” katanya.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam kenyataan media sebelum ini turut mengalu-alukan ratifikasi CPTPP oleh MITI selepas lapan tahun rundingan dijalankan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, ratifikasi CPTPP akan membantu menghidupkan semula aktiviti perdagangan dan pertumbuhan ekonomi terutamnya pemulihan daripada pandemik dan kemelesetan ekonomi dunia yang akan melanda tahun hadapan.
Untuk rekod, selain Malaysia, negara lain iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP.
Biarpun terdapat pelbagai pandangan dan reaksi berkenaan tindakan kerajaan melalui MITI meratifikasi CPTPP, ia diharapkan membawa kebaikan kepada negara di samping melindungi serta menjamin kebajikan usahawan tempatan terutamanya bumiputera. – UTUSAN










