Rancang lahir 2,000 usahawan tutor online

Rancang lahir 2,000 usahawan tutor online

AB Halim Tamuri (dua kiri) dan Dr. Kamilia Ibrahim (dua kanan) melakukan gimik perasmian Usahawan Tutor Online Yayasan WIBA Prima di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Wiba Prima dengan kerjasama Drawzania dan Xperts merancang melahirkan 2,000 usahawan tutor online (UTO) menjelang 2024.

Pengerusinya, Datuk Dr. Kamilia Ibrahim berkata, buat masa ini, seramai 30 UTO kumpulan pertama dilahirkan selepas menjalani latihan selama tiga bulan sejak Mac lalu.

Beliau berkata, program UTO diilhamkan Yayasan Wiba Prima dengan kerjasama Drawzania yang bermatlamat melatih golongan B40 untuk mengendalikan kelas melukis secara dalam talian.

“Sebelum bergelar usahawan, mereka menerima latihan menerusi kemahiran ‘Freehand Visualisation Skills (FVS)’ yang dilatih oleh Drawzania.

“FVS adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk menjadikan seseorang itu lebih kreatif dan inovatif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian UTO yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah TV Al-Hijrah, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya turut merancang memperluas FVS ke peringkat lebih tinggi termasuk mewujudkan akademi dan pusat pengajian khusus bagi program kemahiran melukis.

Dalam pada itu, Pengasas Drawzania, Dr. Ruzaimi Mat Rani yakin program UTO dapat menjana pendapatan kepada usahawan selain mewujudkan komuniti kreatif dan inovasi.

Katanya, sehingga kini, sudah ada usahawan yang berjaya menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan hasil menganjurkan kelas FVS.

“Saya percaya tanpa kemahiran ini, daya kreativiti dan inovatif seseorang tidak dapat dicapai secara optimum,” katanya.

Katanya, beliau mempunyai rancangan yang besar untuk membudayakan kemahiran FVS dalam masyarakat kerana ia pendekatan penting dalam mencorak negara pada masa depan.

Ruzaimi berkata, program UTO bertujuan melatih peserta menjadi usahawan kelas melukis berjenama sendiri secara dalam talian dan fizikal.

FVS adalah sangat penting dalam menjana idea-idea kreatif dan inovatif dalam semua subjek malah, kemahiran ini juga sangat berkait rapat dengan kemahiran komunikasi visual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN