SEREMBAN: Seorang rakyat warga Israel yang juga Youtuber menggunakan nama ‘Nas Daily’ dikesan memasuki negara ini menggunakan pasport negara Saint Kitts and Nevis di bawah Kepulauan Caribbean, Ahad lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ‘Nas Daily’ atau nama sebenarnya Nuseir Yassin mempunyai dua kerakyatan dan memiliki dua pasport dari dua negara berkenaan.
“Dia (Nas Daily) seorang warganegara Israel, apa yang ingin saya jelaskan di sini adalah beliau masuk ke Malaysia dengan menggunakan pasport negara lain, bukan pasport dari Israel.
“Beliau menggunakan pasport Saint Kitts and Nevis iaitu sebuah negara dalam komuniti Carribean,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Penempatan, Pekerjaan dan Pendapatan (3P) di Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin, Nilai di sini yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, hari ini.
Katanya, berdasarkan rekod, ‘Nas Daily’ masuk ke negara ini pada 15 Oktober lalu dan keluar pada 16 Oktober lepas (tengah malam) dengan pasport negara Saint Kitts and Nevis.
“Kerakyatan Saint Kitts and Nevis difahamkan boleh diperoleh oleh rakyat dari negara lain, jadi beliau memasuki negara dan keluar dari Malaysia dengan menggunakan pasport sama.
“Beliau tidak boleh masuk dengan menggunakan pasport lain dan keluar dengan pasport lain, saya difahamkan beliau kemudian memasuki Singapura dengan mengguna pasport Israel,” katanya.
VIDEO Youtuber warga Israel ‘Nas Daily’ yang dimuat naik di hantaran Facebook story miliknya sebelum dikongsikan dan tular dalam Tik Tok.
Jelas Khairul Dzaimee, setakat ini tiada tindakan dari segi Akta Imigresen kerana ‘Nas Daily’ masuk dan keluar secara sah sebagai seorang pelancong.
“Jika beliau menggunakan pasport berkenaan (Israel) sama sekali tidak akan melepasi pintu masuk negara kerana kita tahu Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Sebab itu kelulusan masuk di bawah pas pelancong boleh diberikan semasa ketibaan beliau melalui pasport negara Saint Kitts and Nevis,” katanya.
Tambah beliau, dari segi peraturan imigresen, seseorang yang masuk ke negara ini dengan pasport yang sah bukan satu kesalahan walaupun dia mungkin mempunyai dua kerakyatan.
“Yang penting ia mestilah pasport tulen yang dikeluarkan negara pengeluar dan individu itu tidak mempunyai sebarang rekod sama ada dalam sistem imigresen atau Interpol,” katanya.
Terdahulu, ‘Nas Daily’ berkongsi rasa terujanya berada di Melaka melalui perkongsian di Facebook story milik Youtuber terkenal Israel itu.
Kenyataan itu turut tular dalam media sosial Tiktok selepas pemilik akaun @sunduvan01 memuat naik video ‘Nas Daily’ di Tik Tok.
“30 tahun lalu, saya diharamkan masuk ke Malaysia kerana pasport Israel saya. Jadi, saya pergi beli kerakyatan baru agar dapat masuk dan tunjukkan kepada anda,” kongsinya.
Di akhir perkongsian, ‘Nas Daily’ memaklumkan bahawa dia akan berkongsikan video penuh pengalamannya berada di Melaka dalam hantaran akan datang. – UTUSAN