PRU15: Sokongan pengundi Melayu lebih terbuka kepada PH di Seremban - Utusan Malaysia

PRU15: Sokongan pengundi Melayu lebih terbuka kepada PH di Seremban

LOKE Siew Fook (tengah) ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Parlimen Seremban bagi kawasan DUN Nilai, Lobak dan Temiang di Seremban, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun Parlimen Seremban menyaksikan pertambahan jumlah pengundi Melayu sehingga mencecah 52 peratus daripada jumlah keseluruhan, Pakatan Harapan (PH) yakin mampu untuk menang dan mengekalkan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut penyandang kerusi berkenaan, Loke Siew Fook, keyakinan tersebut berdasarkan penerimaan pengundi Melayu yang dilihat lebih terbuka kepada PH selain ditambah dengan rekod perkhidmatan yang telah diberikannya selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen di situ termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Secara amnya memang kawasan yang majoriti Melayu sukar untuk PH tetapi saya bukanlah baharu berkhidmat di Parlimen Seremban, saya telah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Seremban manakala sebagai ADUN Lobak juga selama dua penggal sebelum itu, jadi saya mempunyai pengalaman lebih 18 tahun politik di Seremban.

“Bagi saya walaupun ada pertambahan pengundi Melayu, tetapi saya yakin bahawa PH mampu mendapat sokongan pengundi Melayu di Seremban dan Negeri Sembilan kerana pengundi Melayu di sini agak terbuka kepada PH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Parlimen Seremban bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Lobak dan Temiang di sini semalam.

Sementara itu, Siew Fook berkata, PH akan memberikan lebih tumpuan bagi meraih sokongan di kawasan Nilai yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai.

“Semua kawasan adalah tumpuan, cuma kawasan Nilai paling ramai pengundi, ada lebih 40,000 orang pengundi dan sudah tentu kami perlu memberi perhatian yang lebih kepada kawasan itu,” katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, peranan jentera adalah sangat penting terutama di Seremban.

“Parlimen Seremban ini merupakan satu kawasan yang sangat besar, kami perlukan ramai petugas dan ramai ejen mengundi dan tempat mengundi, ada 279 saluran di seluruh Parlimen Seremban, maksudnya kalau setiap saluran saya ada dua orang petugas, saya perlu sekurang-kurangnya 600 orang semasa hari pengundian.

“Disebabkan kawasan ini sangat besar, saya juga memerlukan ramai orang untuk berkempen sepanjang tempoh berkempen termasuk untuk membantu memasang bunting, papan iklan, berjumpa pengundi serta ceramah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya