PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka menjadi pilihan raya ‘Tik Tok’, apabila media sosial berkonsepkan video-video pendek dengan penerangan ringkas digunakan secara meluas oleh semua parti politik negara ini.
Pengasas Bersama Undi 18, Nur Qyira Yusri berkata, parti-parti politik harus bergerak seiring dengan budaya sebegini atau mereka ketinggalan dalam soal menyebarkan polisi, bahan kempen serta intipati manifesto masing-masing.
“Saya rasa, pilihan raya kali ini menjadi pilihan raya Tik Tok. Medium media sosial dengan video pendek seperti Tik Tok banyak sangat potensi untuk menjadi viral.
“Ibu bapa saya di luar negara pun selalu dapat video-video Tik Tok, bukan saja daripada parti-parti politik, tapi juga tokoh korporat seperti Datuk Ameer Mydin.
“Jadi kali ini, pilihan raya bukan akan menjadi platform untuk Tik Tok sahaja, tetapi juga video-video dengan gaya Tik Tok akan tular dalam WhatsApp dan lain-lain. Jadi, parti-parti yang tidak bergerak seiring dengan perkembangan ini akan mengalami kesukaran untuk menyebarkan polisi atau manifesto mereka,” katanya.
Katanya, perkembangan ini menjadi indikator bahawa keputusan pilihan raya kali ini juga dipengaruhi oleh undi golongan anak muda yang sentiasa mengikuti perkembangan isu semasa melalui medium media sosial terutama Tik Tok.
Oleh sebab itu, katanya, parti-parti politik perlu bijak memberi tawaran yang menguntungkan golongan ini.
“Berdasarkan survei yang kami buat, banyak anak muda belum menentukan parti mana pilihan mereka. Kedua, ramai pengundi 18 tahun yang ingin keluar mengundi, cuma belum memutuskan mana pilihan parti masing-masing, yang ini memang terbukti.
“Jadi bagi saya, inilah masanya semua parti politik mengetengahkan apa yang mereka boleh tawarkan kepada anak muda. Sebab isu anak-anak muda ini sekarang berlegar di seluruh negara, tak kira sama ada di bandar atau luar bandar. Meskipun isu anak muda di bandar dan luar bandar berbeza, namun mereka tetap mendominasi lanskap politik,” katanya.
Justeru katanya, parti-parti politik perlu berani mencalonkan lebih banyak muka baharu terutama dalam kalangan anak muda bagi menghadapi PRU15. – UTUSAN










