GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di daerah ini mahu veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah kekal sebagai calon Ahli Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Penghulu Orang Asli Pos Hendrop, Bidi Ronggeng berkata, rata-rata masyarakat di Gua Musang bersedia memberi sokongan penuh kepada Ku Li yang disifatkan banyak menabur bakti kepada mereka.
“Kita tidak boleh menafikan sumbangan dan jasa Ku Li terhadap Orang Asli di Parlimen Gua Musang. Segala kemudahan yang dinikmati masyarakat Orang Asli adalah hasil bantuan beliau.
“Beliau sangat prihatin terhadap masyarakat Orang Asli di sini. Kami yang tinggal di kawasan Lojing terhutang budi dengan jasa yang ditaburkan apabila boleh hidup dengan lebih selesa apabila adanya kemudahan jalan utama Gua Musang-Lojing, jalan perhubungan desa, bekalan elektrik selama 24 jam dan kemudahan asas lain,” katanya.
Seorang lagi wakil Orang Asli Kuala Betis, Ibrahim Marijah, 65, berkata, masyarakat Orang Asli masih bersikap positif dan mahukan Ku Li terus kekal di Parlimen Gua Musang.
Katanya, mereka sudah sebati dengan Ku Li dan menganggap beliau sebagai ‘raja’ mereka.
“Kami harap Ku Li akan terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat bertanding di PRU akan datang.
“Ku Li sudah memberi perkhidmatan dan kemajuan yang begitu baik kepada semua lapisan penduduk termasuklah masyarakat Orang Asli. Kita harus lagi memberi sokongan kepada beliau supaya mentadbir Parlimen Gua Musang ini dengan sempurna dan baik,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, sepuluh penggal diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang Ku Li sebagai individu yang masih lagi relevan untuk dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
Sosok tubuh berusia 85 tahun yang masih cergas, cerdas dan sering melontarkan pandangan baharu kepada negara meletakkan tokoh berkenaan mampu. – UTUSAN










