KUALA TERENGGANU: Jentera pilihan raya Pas bersedia untuk digerakkan walaupun terpaksa menghadapi risiko banjir sepanjang tempoh berkempen sehingga menjelang hari mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas juga menganggap pengumuman pembubaran Parlimen sebelum ini bukan sesuatu yang mengejutkan.
Menurutnya, parti itu telah membuat persediaan menghadapi PRU15 sejak setahun lalu.
“Jentera pilihan raya Pas sedia digerakkan, tak timbul masalah, kita sudah atur dan susun pelbagai posisi. Sebab itu bila bubar Parlimen tak terkejut sangat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Kelulut, di sini hari ini.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15
Sementara, pada hari ini pula, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu kekal dengan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah pada pilihan raya umum tersebut.
Dr. Ahmad Samsuri memberitahu, selain daripada agensi kerajaan yang sedia ada menghadapi banjir, Pas turut mempunyai unit yang membantu menguruskan mangsa-mangsa banjir.
Katanya, unit tersebut turut membantu pengundi di kawasan banjir supaya dapat keluar mengundi sekiranya bencana tersebut berlaku pada hari pembuangan undi.
“Insya-Allah kita boleh kawal, saya rasa tidak ada masalah untuk berdepan dengan banjir (pada hari mengundi),” ujarnya. – UTUSAN