KUANTAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dijangka dibubarkan selepas Bajet Pahang 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu diluluskan pada sidang DUN yang dijadualkan berakhir hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bajet itu perlu diluluskan terlebih dahulu kerana ia penting untuk rakyat negeri ini.
“Cuma saya boleh katakan, insya-Allah dalam masa terdekat ini. Kita mahu luluskan dahulu bajet yang dibentangkan dalam sidang Dewan.
“Perkara tersebut lebih penting untuk rakyat supaya kerajaan boleh membelanjakan untuk negeri dan rakyat.
“Kalau tidak penjawat awam pun tidak akan dapat sebulan setengah bonus. Lulus sahaja bajet ini, bila-bila masa kita bubar,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian Sumbangan Persiapan Banjir Petronas kepada Kerajaan Negeri di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, kesemua DUN di bawah pentadbiran parti itu akan dibubarkan susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Di Pahang, terdapat 42 kerusi DUN dan pada PRU14, 25 kerusi dimenangi BN, sembilan Pakatan Harapan (PH) dan lapan kerusi milik Pas. – UTUSAN