PRU15: DAP tidak anggap Kota Melaka kerusi selamat 

PRU15: DAP tidak anggap Kota Melaka kerusi selamat 

KHOO Poay Tiong menunjukkan kad laporan Ahli Parlimen Kota Melaka di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Melaka, Banda Hilir, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: DAP negeri tidak memandang mudah cabaran yang diberikan calon-calon parti lawan termasuk di kerusi Parlimen Kota Melaka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penyandangnya, Khoo Poay Tiong berkata, Parlimen berkenaan perlu dipertahan kerana jentera parti telah bekerja keras hampir lima tahun di situ.

Menurut beliau, setakat ini tiada satu kerusi pun yang boleh dikatakan ‘selamat’ selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

“Semua kerusi ada peluang sama rata dan calon bertanding secara adil. Jadi kita perlu pertahankan Kota Melaka ini dengan bersungguh-sungguh dan tidak mengambil ringan cabaran daripada parti-parti lain.

“Kita kena ingat DAP pernah tewas di kerusi ini pada 2004 kepada Barisan Nasional (BN). Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh sebulan ini. Justeru, semua pihak perlu bersiap sedia menghadapi cabaran dan perkara di luar jangkaan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Kad Laporan Ahli Parlimen Kota Melaka di Banda Hilir di sini, hari ini.

Poay Tiong menang di Kota Melaka pada PRU14 dengan majoriti besar 49,175 undian menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Eric Choo Wei Sern dan calon Bebas, Goh Leong San yang turut kehilangan deposit.

Pada PRU13, DAP melalui Sim Tong Him menang dengan majoriti 20,746 undian menewaskan calon BN, Dr. Yee Kok Wah dalam pertembungan satu lawan satu.

Dalam pada itu, mengenai kemungkinan dicalonkan semula di kerusi berkenaan, Poay Tiong berkata, beliau menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan DAP Pusat.

Katanya, sebagai ahli parti, beliau menerima dan akur apa sahaja keputusan kepemimpinan tertinggi.

“Pakatan Harapan (PH) Melaka telah selesai pembahagian kerusi dan bagi DAP negeri, kami telah menyerahkan nama-nama calon kepada Pusat. Jawatankuasa khas yang dianggotai lima orang ini akan memilih calon yang sesuai.

“Kita tunggu sahaja pengumuman jawatankuasa ini yang mana ia dijangka selesai sebelum Deepavali,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.