KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung dapat dimasukkan dalam manifesto BN sekiranya mereka menang dengan dominan.
Beliau berkata, jawatan itu boleh disandang oleh mana-mana pemimpin daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi memegang jawatan kedua penting negara itu.
Katanya, beliau juga yakin Perdana Menteri menerima cadangan itu kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, dalam kerajaan sekarang pun tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri, yang ada hanya empat jawatan menteri kanan.
Maka, tidak mustahil mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya BN menang dengan dominan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO itu berkata, beliau telah meminta Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memasukkan cadangan itu dalam manifesto BNSabah agar ada Timbalan Perdana Menteri dari negeri ini.
“Saya telah mencadangkan agar manifesto BN Sabah dapat mencadangkan kepada Perdana Menteri, jika kita dominan membentuk kerajaan di Putrajaya maka, ada satu jawatan Timbalan Perdana Menteri yang datang daripada Sabah.
“Begitu juga untuk Sarawak, mungkin mereka juga akan meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Sarawak dan seorang lagi daripada Semenanjung.
“Ini adalah pendekatan baharu yang dicadangkan oleh Barisan Nasional agar Barisan Nasional Sabah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak serta Barisan Nasional di Semenanjung dapat masukkan dalam manifesto,” katanya selepas pelancaran Gelombang Biru Zon 3 Sabah di Kimanis hari ini.
Mengulas lanjut katanya, jawatan Timbalan Perdana Menteri itu penting untuk Sabah bagi membolehkan mereka yang dilantik dapat memperjuang nasib rakyat Sabah dengan memohon lebih banyak peruntukan daripada Persekutuan.
Ahmad Zahid berkata, lantikan Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah dan Sarawak itu selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam mengembalikan status wilayah Sabah dan Sarawak. – UTUSAN