ARAU : Kemunculan semula Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Azmi Khalid yang dikatakan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini langsung tidak memberi kesan kepada UMNO jauh sekali untuk dua pemimpin itu menang.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan beliau sedia berdepan dua pemimpin tersebut yang sebelum ini sering berbeza pendapat dengan beliau.
Kata Menteri Wilayah Persekutuan itu, tidak ada masalah untuk mereka kembali bertanding dalam PRU-15 di Perlis.
“Masa dalam UMNO dahulu pun, mereka (Radzi, Azmi) ini sering beza pendapat dengan saya. Insya-Allah kita akan menang dan kali ini, mereka di luar parti dan nak lawan kita kembali, kita akan menang.
“Saya siap sedia untuk hadapi mereka dan saya ada pengalaman hadapi mereka. Rakyat Perlis pandai menilai siapa yang memberi perkhidmatan kepada mereka.
“Mereka ini, muncul masa nak bertanding sahaja dan kami langsung tidak bersetuju dengan calon ‘mesin padi’ (bermusim) seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Derma Darah Bulan Sabit Merah Malaysia Perlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis tidak menolak kemungkinan mengenengahkan dua tokoh politik terkenal iaitu Radzi dan Azmi sebagai calon mereka dalam PRU15 di negeri itu.
Selain dua tokoh berkenaan, Bersatu Perlis juga dikatakan tidak menolak kemungkinan mengenengahkan calon veteran seperti bekas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dalam PRU15.
Radzi Sheikh Ahmad,80, yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menguasai Parlimen Kangar pada PRU 1982, 1986, 2004 dan 2008.
Azmi,82, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pula menguasai Parlimen Padang Besar selama empat penggal berturut-turut dari tahun 1995 sehingga 2008.
Dalam pada itu, Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau memberitahu, UMNO Bahagian itu telah mengemukakan senarai calon untuk dihantar kepada pusat membuat keputusan.
“Kita sudah bersedia berdepan PRU15 dan jentera di bahagian Arau juga sudah bersedia menghadapi pilihan raya dijangka pada bila-bila masa,” katanya. – UTUSAN