KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) muncul sebagai parti politik pertama di Sabah mengumumkan nama calon yang akan mewakili parti tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Hari ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan seorang peguam kanan yang dikenali sebagai Datuk Adnan Puteh, 64, sebagai calon Warisan bagi kerusi Parlimen Sipitang.
Adnan merupakan bekas Presiden Persatuan Peguam Muslim Sabah (Amal) dan Bendahari Warisan Bahagian Sipitang.
“Calonnya ialah seorang peguam kanan. Bukan senang untuk memujuk dia (jadi calon), saya belajar bersamanya di London. Saya bagitahu dengan Datuk Adnan, saya mahu suara lantang sebagai seorang peguam dalam memperjuangkan hak kita di Parlimen.
“Maka, padukan tenaga kita untuk menangkan Datuk Adnan Puteh,” katanya semasa Program Jelajah Bersama Rakyat Sipitang hari ini.
Pengumuman nama calon Warisan Sipitang itu diiringi dengan laungan ‘Sipitang bangkit’ sebanyak tujuh kali yang diketuai oleh Mohd. Shafie.
Pada masa ini, kerusi Parlimen Sipitang disandang oleh Datuk Yamani Hafez Musa mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada PRU-14, Yamani Hafez yang bertanding di bawah payung Barisan Nasional menang dengan majoriti 852 undi dalam pertembungan tiga penjuru.
Yamani Hafez memperoleh 12,038 undi menewaskan pencabar terdekatnya daripada Warisan, Noor Hayaty Mustapha.
Selepas PRU14, Yamani Hafez bersama empat ahli Parlimen Barisan Nasional mengumumkan keluar parti bagi menyertai Bersatu pada 2019.
Sebelum ini, selepas keluar daripada Warisan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob memberi gambaran ingin bertanding kerusi Parlimen Sipitang di bawah payung Barisan Nasional.
Penyertaan Yusof ke dalam UMNO/Barisan Nasional diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Mei lalu.
Kerusi Parlimen Sipitang merupakan kerusi tradisi Barisan Nasional dan Yusof pernah menjadi Ahli Parlimen Sipitang mewakili Barisan Nasional bagi tempoh 1995 hingga 2008.
Legasi itu kemudian disambung oleh Datuk Sapawi Ahmad yang memegang kerusi Parlimen tersebut selama dua penggal iaitu pada tahun 2008 hingga 2018. – UTUSAN