KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan perutusan khas pada pukul 3 petang ini.
Perutusan khas berkenaan dipercayai berhubung pengumuman pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Orang ramai boleh mengikuti perutusan khas Perdana Menteri itu menerusi siaran langsung di saluran beberapa stesen televisyen tempatan.
“Ikuti perutusan khas pada jam 3 petang hari ini, 10 Oktober 2022,” kata Ismail Sabri dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Terdahulu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan ada pengumuman penting hari ini yang dipercayai berhubung pembubaran Parlimen.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mempersembah cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya pasti Perdana Menteri yang mempunyai kuasa menasihati Agong sudah melaksanakan tugasnya. Saya fikir bila pun pembubaran itu diumumkan, kami dalam BN sentiasa bersiap siaga.
“Bila pun tarikh yang diumumkan, jika pun ia dibubarkan pada hari ini, kami sedia untuk menangkan calon BN. Apa pun yang akan diumumkan personaliti yang berada di luar dari kami ini nanti, tidak akan menenggelamkan kami,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Spekulasi pembubaran terus kuat diperkatakan apabila Ismail Sabri dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk kali kedua dalam tempoh empat hari bagi menyatakan hasrat tersebut.
Bayangan pembubaran Parlimen bakal berlaku dalam masa terdekat dikuatkan lagi dengan tindakan UMNO yang mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato’ Onn, malam ini. – UTUSAN