PM ada kuasa mutlak mohon pembubaran Parlimen

PM ada kuasa mutlak mohon pembubaran Parlimen

CHARLES SANTIAGO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu mendapatkan persetujuan atau berunding dengan ahli-ahli Kabinet sebelum membuat permohonan untuk membubarkan Parlimen.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid ketika membaca penghakimannya menyatakan, Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk memohon pembubaran Parlimen dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

“Ini kerana kuasa untuk memohon pembubaran Parlimen terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mutlak dalam Eksekutif. Beliau boleh membuat permohonan untuk membubarkan Parlimen tanpa mendapatkan nasihat daripada ahli-ahli Kabinet.

“Paling utama, Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai budi bicara untuk sama ada menerima atau menolak permohonan tersebut.

“Kuasa perogatif untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya kepada YDPA yang mempunyai budi bicara mutlak untuk memperkenan permohonan pembubaran Parlimen mengikut Perkara 42b Perlembagaan Persekutuan berhubung permohonan Perdana Menteri juga bukanlah sesuatu yang boleh dicabar,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan Ismail, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago.

Mahkamah memutuskan bahawa saman itu tidak mempunyai sebarang merit, remeh, menyusahkan, tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah serta satu proses menyalahgunakan proses mahkamah.

Mahkamah membatalkan saman pemula itu dengan kos sebanyak RM20,000.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman tersebut.

ISMAIL SABRI DAUD

Pada 11 Oktober lalu, penyandang Parlimen Klang itu selaku plaintif menfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri dan dua yang lain susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Berdasarkan dokumen, plaintif memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail Sabri kepada YDPA pada 9 Oktober lalu untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, katanya, permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am Jemaah Menteri dan menjadikannya terbatal serta tidak sah.

Bagaimanapun pada 14 Oktober lalu, Ismail Sabri dan dua yang lain memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula tersebut atas alasan bahawa ia tidak mendedahkan kausa tindakan mahu pun kausa tindakan yang munasabah ke atas mereka.

Ia kerana isu keabsahan permintaan pembubaran Parlimen ke-14 oleh defendan pertama kepada YDPA pada 9 Oktober lalu adalah bersifat akademik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN