ARAU: Pengundi muda khususnya berusia 18 tahun ke atas yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih melihat kepada calon yang diketengahkan berbanding parti politik sebagai rujukan memilih wakil rakyat.
Malah, mereka menafikan dakwaan pelbagai pihak kononnya tidak mengetahui atau tidak mengambil tahu langsung mengenai perkembangan politik semasa dalam negara.
Seorang pelajar, Muhammad Daniel Hilman, 20, berkata, dia sudah tidak sabar mengundi pertama kali pada PRU15 dan melihat kepada kriteria calon bakal diketengahkan parti-parti politik sebagai pilihan.
Katanya, parti-parti politik mungkin boleh mengetengahkan calon-calon lebih muda, segar dan mempunyai visi dalam menarik undi golongan muda yang sudah tentunya menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti bertanding.
Katanya, perkembangan media sosial yang semakin pesat khususnya di platform Tik Tok, Twitter atau Facebook memudahkan pengundi khususnya mengikut perkembangan politik semasa negara sekali gus menjadi rujukan membuat pilihan.
“Saya lihat, calon yang diketengahkan parti-parti politik sangat penting. Golongan muda selalunya lebih melihat kepada calon yang diketengahkan berbanding parti politik,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, sejumlah 21,179,773 pengundi bertanggungjawab memilih kerajaan pada PRU15 yang tarikh pengundiannya ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 20 Oktober ini.
Seorang lagi remaja yang bakal mengundi kali pertama, Nur Afikah Rozali, 20, berkata, dia turut melihat kepada calon yang diketengahkan terlebih dahulu sebelum membuat pilihan.
Katanya, suasana politik sekarang sudah jauh berubah dengan pengundi lebih bijak membuat pilihan dalam menentukan pembentukan sesebuah kerajaan.
“Calon-calon perlu agresif mendekati pengundi muda yang dilihat mampu menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti politik itu. Jumlah pengundi muda semakin ramai termasuk dengan ada pengundi 18 tahun ke atas dan mereka mampu jadi penentu,” katanya.
Seorang lagi pengundi muda, Ahmad Faris Fadzil,19, berkata, golongan muda mengambil tahu mengenai perkembangan politik semasa namun melihat kepada ketidakstabilan sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka menjadi bosan.
“Di media-media sosial sekarang maklumat mengenai perkembangan politik mudah diperoleh. Saya lihat kempen-kempen ahli politik selepas ini patut lebih tertumpu kepada media sosial khususnya dalam menarik sokongan orang muda,” katanya. – UTUSAN