JERAI: Bekas Pengerusi Parti Amanah Negeri Kedah (Amanah), Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi tidak terkilan apabila digugurkan parti walaupun mengakui agak terkejut dengan keputusan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu berkata, beliau dipecat hanya kerana mempertahankan Parlimen Jerai yang sepatutnya ditandingi wakil itu berbanding DAP.
Katanya, PH tidak sewajarnya menjadikan Parlimen Jerai sebagai kawasan percubaan ekoran kawasan majoriti Melayu tersebut tidak sesuai ditandingi DAP ekoran sentimen kaum yang masih ada kepada segelintir pengundi.
“Kita bimbang kalau kerusi pengundi Melayu sehingga 80 peratus ini ditandingi DAP maka ia akan menjejaskan kerusi-kerusi lain. Pendirian kita bukan tidak suka DAP, tapi dalam politik sikap pengundi kita kena ambil kira.
“Amanah Kedah berpendapat memberi Jerai kepada DAP akan memberi bola tanggung kepada Pas dan UMNO untuk memainkan sentimen penolakan majoriti pengundi Melayu kepada DAP yang kesannya akan dirasai calon-calon PH lain terutamanya Amanah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata demikian pada sidang akhbar khas di Pejabat Amanah Parlimen Jerai di Guar Chempedak, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Mohd. Hatta Md. Ramli mengumumkan Phahrolrazi dipecat serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.
Tambah Phahrolrazi, keputusan menolak DAP bertanding di Jerai dibuat dalam Mesyuarat Amanah Kedah pada 14 oktober dan 27 Oktober lalu sebelum pengumuman calon PH dilakukan.
Katanya, pada peringkat awal keputusan tersebut dipersetujui hampir 100 peratus pimpinan Amanah Kedah, namun akhirnya ramai yang tidak memilih bersamanya apabila Majlis Presiden PH membuat keputusan.
“Saya ketika ini bersama sekumpulan ahli Amanah termasuk Ketua Pemuda Amanah Kedah dan tujuh kawasan yang terkesan dengan keputusan dibuat pucuk pimpinan itu termasuk pemecatan saya.
“Namun, ketika ini kami tidak sampai tahap untuk meletakkan calon sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Jerai kerana berpendapat ia sekadar membuang masa memandangkan tidak pernah ada calon bebas yang boleh menang,” katanya.
Namun menurutnya, tidak ada perkara yang kekal dalam politik selagi mana hari penamaan calon tiba dengan mengharapkan masih ada peluang kepada Amanah diletakkan di kawasan itu.
“Ketika ini kami sudah menggunakan segala ruang dan peluang dalam Amanah untuk mempertahankan kerusi Jerai, jadi kami serahkan kepada umum untuk membuat penilaian sewajarnya menjelang hari pengundian 19 November ini,” katanya. –UTUSAN










