KUALA LUMPUR: PKR mempertaruh calon-calon berprofil tinggi manakala DAP meletakkan individu berpengalaman di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding di kerusi Parlimen termasuk di kawasan majoriti Melayu sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
DAP yang membuat pengumuman calon lebih awal, iaitu melibatkan kerusi di Pahang, semalam menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman di Parlimen Bentong sekali gus ‘sanggup’ menggugurkan Wong Tack yang merupakan penyandang kerusi berkenaan.
Di Parlimen Cameron Highlands, DAP yang merupakan gabungan Pakatan Harapan (PH) meletakkan bekas ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Keong manakala Chow Yu Hui yang sebelum ini penyandang ADUN Teras bertanding di Raub.
Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dipindahkan ke Parlimen Lipis dan menjadi satu-satunya calon yang turut bertanding di peringkat DUN, namun ia akan diumumkan minggu depan.
Ketika mengumumkan calonnya semalam, PKR turut menampilkan anak kedua bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar sebagai antara tujuh calon yang disifatkan parti itu berprofil tinggi bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.
Selain Nik Omar yang bertanding di Perak, enam lagi calon ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman (di Perak), bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa), Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan (di Pahang) dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Noraishah Abdul Aziz (di Wilayah Persekutuan).
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop pula di Selangor; bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha (di Negeri Sembilan) dan pelajar doktor falsafah UM, Fathin Amelina Fazlie di Perlis.
Calon DAP di Pahang itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook manakala PKR oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing di ibu pejabat parti tersebut di Kuala Lumpur serta Petaling Jaya.
Anwar berkata, tokoh yang diperkenal itu disifatkan istimewa kerana mempunyai kemahiran dan keterampilan dari pelbagai disiplin lapangan serta pengalaman untuk dipersembah kepada rakyat.
Beliau berkata, keputusan itu juga menunjukkan betapa seriusnya PKR dalam menampilkan tokoh berwibawa yang mana bukan sahaja memberi keutamaan kepada aktivis parti, tetapi memberi ruang kepada individu lain yang boleh memberi sumbangan kepada rakyat dan negara.
“Namun keputusan sama ada tokoh yang ditampilkan hari ini bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diumum pada 28 Oktober, saya umum kuota PKR.
“PKR akan tampilkan ramai lagi tokoh, cuma hari ini kita tonjolkan sebahagian utama dan yang lain perlu tunggu pengumuman rasmi nanti pada 28 Oktober,” katanya kepada pemberita, semalam.
Dalam pada itu, mengulas strategi meletakkan calon Melayu di kerusi yang majoriti kaum itu, Anthony berkata, parti itu menilai dari segi kemampuan dan keupayaan calon, bukan perspektif kaum semata-mata.
“Terpulang apa orang cakap, apabila hantar wakil Melayu, orang cakap DAP sengaja menggunakan orang Melayu.
“Kalau tak letak, orang akan cakap ini parti Cina. Kami ingin tunjukkan keikhlasan DAP untuk menjadikan parti ini lebih terbuka, berbilang kaum dan mempunyai pemimpin daripada pelbagai latar belakang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis pengumuman calon berkenaan.
Terdahulu dalam sidang akhbar berkenaan, beliau berkata, DAP mengambil risiko kali ini dengan mencalonkan wanita Melayu pertama di peringkat Parlimen dengan melihat Young Syefura atau Rara merupakan calon muda, berusia 33 tahun dan mempunyai rekod baik ketika menjadi ADUN Ketari sebelum ini.
“Rara merupakan ahli Parlimen wanita Melayu pertama DAP. Dan saya menaruh kepercayaan kepada beliau yang telah berkhidmat di kawasan tersebut selama lima tahun dan track rekod yang baik pengundi beliau di DUN Ketari. Itu antara faktor beliau boleh membantu parti untuk menang di Parlimen itu.
“Keputusan itu bukan hanya berdasarkan pemerhatian, tetapi juga ada buat kajian dan kita percaya beliau adalah calon boleh menang di situ,” katanya.
Keadaan itu turut dijelaskan Anthony mengapa Wong Tack digugurkan sambil diberi tawaran baharu kepadanya iaitu kerusi Cameron Highlands, namun ditolak.
“Saya tidak boleh menjawab (alasan tolak tawaran DAP) bagi pihak dia, saya telah bincang dengan beliau seperti anda tahu perbincangan yang telah secara terbuka, ada gambar dalam Facebook, saya telah bincang hampir tiga jam pada Ahad lalu untuk berikan hujah, kenapa keputusan ini dibuat dan mengapa paling baik beliau bertanding di Cameron Highlands.
“Tetapi akhirnya ia adalah pilihan sendiri, saya tidak boleh paksa beliau untuk bertanding. Kita terpaksa buat keputusan dan bergerak ke hadapan, sebab saya ada jadual masa yang sangat ketat perlu patuhi, keputusan telah dibuat. Dan selepas saya berjumpa beliau, beliau telah meminta saya berikan masa 24 jam kepadanya untuk pertimbangkan cadangan itu. Tetapi selepas 24 jam beliau telah pun memberikan jawapan kepada kita bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut,” jelasnya.
Untuk rekod pada PRU-14, Wong Tack telah memenangi PRU-14 dengan menewaskan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Balasubramaniam Nachiappan calon daripada Pas dengan majoriti 2032 undi.
Namun pada PRU kali ini, Rara dijangka bertembung sekali lagi dengan Tiong Lai yang merupakan calon Barisan Nasional (BN). – UTUSAN










